- Iklan -
Berita

Polis akan arah pengunjung lokasi riadah beredar jika tidak lengkap vaksin

Polis menggerakkan pasukan pemantau di semua lokasi riadah bagi memastikan pengunjung lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 dan patuh SOP.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Warga Selangor mengambil kesempatan cuti hujung minggu berkunjung ke kawasan Sungai Congkak, Hulu Langat dengan menjalankan aktiviti berkelah dan beriadah bersama ahli keluarga selepas kelonggaran diberikan Putrajaya kepada penerima vaksin lengkap Covid-19.
Warga Selangor mengambil kesempatan cuti hujung minggu berkunjung ke kawasan Sungai Congkak, Hulu Langat dengan menjalankan aktiviti berkelah dan beriadah bersama ahli keluarga selepas kelonggaran diberikan Putrajaya kepada penerima vaksin lengkap Covid-19.

Orang ramai yang mengunjungi kawasan riadah akan diarah untuk beredar jika tidak lengkap dua dos vaksin, kata timbalan pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman Mastor Mohd Ariff.

Beliau berkata polis telah menggerakkan pasukan pemantau di semua lokasi riadah yang menjadi tumpuan ramai bagi memastikan pengunjung lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 dan patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Sekiranya berdegil, mereka akan diarah beredar dari lokasi itu setelah diberi nasihat oleh polis. Kami faham rakyat tengah tertekan dan dalam menguatkuasakan undang-undang, sifat kemanusiaan itu penting dalam membantu masyarakat,” katanya semalam.

Mastor juga berkata pemantauan mendapati pengunjung di lokasi riadah agak berkurangan semalam, yang merupakan cuti umum sempena Hari Malaysia, berbanding pada Sabtu dan Ahad lepas.

Ketua Polis Gombak Zainal Mohamed Mohamed pula berkata pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun pelanggaran SOP dan 46 saman trafik terhadap pengunjung di kawasan air terjun Sungai Pisang di Gombak.

“Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada jarak fizikal antara satu sama lain,” menurutnya dalam kenyataan.