Friday, October 22, 2021

Bimbang pelancong ke tempat lain, pemain industri teruja beroperasi semula seperti Langkawi

Mereka menganggap Langkawi sebagai eksperimen dalam usaha membuka semula tempat peranginan dengan penerapan SOP ketat.

Other News

Sekiranya Langkawi berjaya dalam “eksperimen” gelembung pelacongan dengan pematuhan SOP yang baik tanpa berlakunya peningkatan kes mendadak, lebih banyak tempat lain perlu dibuka bagi mengelakkan pelancong lari ke negara lain, kata pemain industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelancongan Negara (YPN) Fathir Badri berkata jika Malaysia lambat bertindak dalam membuka sektor pelancongan, ada kemungkinan pelancong asing akan berpindah ke lokasi pelancongan lain seperti Singapura atau Indonesia.

“Malaysia mempunyai eko pelancongan yang kuat seperti hutan rimba, air terjun dan pulau. Malah, kita juga mempunyai gaya hidup moden yang sesuai dengan gaya percutian mewah,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Selain itu, Malaysia merupakan antara negara Islam yang maju, jadi mudah untuk mencari makanan halal. Jika kita lambat bertindak, saya bimbang pelancong akan ‘lari’ ke lokasi baru sekali gus memberi kesan terhadap pelaburan asing ke negara.”

Beliau menambah Malaysia adalah antara negara yang memiliki majoriti penganut Islam di mana makanan halal mudah diperolehi, menjadikannya sebuah tarikan bagi pasaran pelancong-pelancong dari Timur Tengah.

Tambahnya, sektor pelancongan mampu mempercepatkan proses pertumbuhan ekonomi negara selepas terjejas teruk sejak Covid-19 dikesan dalam negara tahun lalu.

Katanya, sektor pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebelum penularan Covid-19 pada awal tahun lalu.

“Rantaian sektor pelancongan begitu luas. Setiap aktiviti berkaitan industri ini mempunyai impak terhadap sektor-sektor lain seperti perdagangan runcit, perhotelan serta makanan dan minuman,” katanya.

“Sebab itu lebih lama sektor pelancongan ditutup, maka lebih lambat ekonomi negara akan berkembang.”

Sektor pelancongan menyumbang sebanyak RM240.2 bilion atau 15.9% kepada KDNK 2019, meningkat berbanding RM220.4 bilion atau 15.2% yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, sektor ini merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19, menyebabkan kebanyakan syarikat berkaitan dalam industri tersebut hilang sumber pendapatan.

Lebih menyedihkan, keadaan itu menyebabkan ramai pekerja terpaksa dihentikan kerana syarikat tidak lagi mampu membayar gaji mereka.

Mereka yang terjejas termasuk dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat perhotelan dan agensi pelancongan.

Menurut Fathir, Malaysia mempunyai hampir 10,000 agensi pelancongan sebelum penularan Covid-19, namun kini hanya 3,000 hingga 4,000 yang masih aktif.

Malah, katanya, sehingga kini, sudah hampir 120 hotel terpaksa tutup operasi di seluruh negara.

Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru mengenai pembukaan Langkawi untuk aktiviti pelancongan domestik, Fathir menyifatkan ia sebagai langkah yang tepat.

Katanya, Langkawi boleh dijadikan sebagai perintis untuk melihat impak pembukaan sektor pelancongan dan keberkesanan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam sektor tersebut.

“Jika ia berjaya (tidak menimbulkan jangkitan kluster), mungkin Malaysia bersedia untuk membuka lebih banyak lokasi percutian serta menerima kehadiran pelancong asing, sekali gus mengembalikan prestasi sektor pelancongan seperti ketika era pra-pandemik.

“Antara pendekatan yang boleh diambil adalah seperti pembukaan Pulau Phuket di Thailand yang mana pelancong asing perlu dikuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan untuk mengembara di negara itu,” katanya.

Fathir berkata, usaha kerajaan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok adalah penting untuk meyakinkan pelancong asing bahawa Malaysia komited untuk menangani ancaman Covid-19.

“Ditambah dengan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa Covid-19 akan diklasifikasikan sebagai endemik, ini menunjukkan bahawa virus ini tidak akan hilang dalam masa terdekat.

“Sebab itu, kita perlu yakinkan pelancong asing bahawa mereka selamat untuk melancong ke Malaysia. Caranya ialah mempamerkan ketegasan pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan SOP serta jumlah penerimaan vaksin dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan hotel dan resort di Langkawi telah menerima ribuan tempahan susulan pengumuman kerajaan bahawa tempat penginapan boleh beroperasi semula bagi menerima pelancong sebagai sebahagian dari program gelembung pelancongan untuk menghidupkan semula industri itu.

Langkawi Tourism Association (LTA) berkata hotel di pulau itu menerima sekitar 6,000 tempahan dan dijangka menerima kira-kira RM24 juta dalam tempoh tiga hari dari 16 September dengan ketibaan hampir 24,000 pelancong.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles