Monday, October 18, 2021

Ahli Parlimen pembangkang dikompaun untuk elak ‘dwi standard’, kata menteri

Hamzah berkata ketika perarakan pembangkang 2 Ogos lalu, SOP kesihatan menyatakan tiada sebarang perhimpunan boleh diadakan di mana-mana tempat.

Other News

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata kerajaan tiada pilihan kecuali mengenakan kompaun terhadap ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka dan cuba berarak untuk masuk ke Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Katanya, langkah itu diambil kerana kerajaan tidak mahu mengamalkan pelaksanaan undang-undang dua darjat yang membezakan ahli Parlimen dengan orang lain.

Hamzah berkata ketika perarakan 2 Ogos lalu, prosedur operasi standard (SOP) kesihatan menyatakan tiada sebarang perhimpunan boleh diadakan di mana-mana tempat.

Bagaimanapun, Hamzah berkata dengan semangat kerjasama di antara kerajaan dan pembangkang, serta perbincangan dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, jumlah kompaun itu akan diturunkan supaya ia sama apa yang dikenakan kepada rakyat biasa.

Ketika perbahasan di sidang Parlimen hari ini, Hamzah turut mengumumkan kompaun RM3,000 yang dikenakan setiap ahli Parlimen berkenaan akan diturunkan menjadi RM1,000 saja.

“Kerajaan masih perlu mengenakan kompaun kerana tidak boleh ada dwi standard di antara ahli Parlimen dan rakyat lain yang turut mengadakan perhimpunan.

“Maka kerajaan terpaksa (mengenakan kompaun ke atas ahli Parlimen)…. saya minta maaf,” katanya.

Sebelum ini, polis menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka susulan penangguhan sidang khas Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Dalam himpunan tersebut, polis menghalang cubaan ahli Parlimen pembangkang memasuki perkarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun sidang itu telah ditangguhkan atas nasihat kementerian kesihatan berikutan penularan Covid-19.

Ia dihadiri pemimpin utama Pakatan Harapan dan parti pembangkang lain, himpunan itu bagaimanapun bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarah polis.

Namun berlaku banyak perlanggaran SOP khususnya berkaitan penjarakan fizikal, ketika perarakan dan ketika mereka berkumpul di Dataran Merdeka.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles