- Iklan -
Berita

Cabaran ahli Parlimen pembangkang, bantu rakyat tanpa peruntukan

Peruntukan sama rata ahli Parlimen diperjuangkan Pakatan Harapan sebelum ini.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Penyokong mengibarkan bendera Perikatan Nasional semasa ceramah Grand Finale Selangor Bangkit Gemilang di Taman Melawati, Hulu Kelang, 11 Ogos.
Penyokong mengibarkan bendera Perikatan Nasional semasa ceramah Grand Finale Selangor Bangkit Gemilang di Taman Melawati, Hulu Kelang, 11 Ogos.

Biarpun terpaksa menggunakan wang poket sendiri ekoran tidak mendapat peruntukan Parlimen disebabkan berada di blok pembangkang, ia tidak menghentikan semangat mereka untuk terus memberikan khidmat dan membantu rakyat.

Bagaimanapun, cabaran-cabaran yang dihadapi ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sangat besar tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan kenaikan harga barangan yang berterusan.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, ahli Parlimen pembangkang seharusnya mendapat peruntukan kawasan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan (PH) selama ini supaya setiap ahli Parlimen mendapat peruntukan sama rata.

Katanya, peruntukan ahli Parlimen sepatutnya disalurkan secara terus bagi kegunaan pengurusan operasi pusat khidmat dan pemberian bantuan bermusim kepada rakyat seperti bantuan persekolahan.

“Ketika ini kita hanya dapat tolong apa yang termampu sahaja.

“Memang tidak ada pilihan kami terpaksa menggunakan wang simpanan dan gaji kami sendiri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Semasa menyampaikan ucapan penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 pada Selasa lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang akan disalurkan jika mereka bersedia berunding dengan kerajaan berhubung perkara itu.

Anwar mengenakan syarat hanya bersedia memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang membabitkan perbelajaan berkaitan pentadbiran sahaja.

Kenyataan Anwar itu mengundang kritikan ramai yang membandingkan amalan pemberian peruntukan secara adil kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang dilaksanakan ketika di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Di zaman pentadbiran Muhyiddin, semua ahli Parlimen sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang diberikan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sementara di zaman Ismail, kerajaan dan pembangkang melaksanakan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dan semua wakil rakyat diberikan peruntukan sama rata.

Janji manifesto PH

Wan Ahmad Fahysal berkata, kenyataan Anwar yang kononnya peruntukan tetap disalurkan kepada rakyat melalui pelaksanaan projek adalah sangat tidak masuk akal.

Ketua Pemuda Bersatu itu berkata Anwar tidak boleh menyamakan peruntukan ahli Parlimen dengan peruntukan pembangunan projek kerana jelas ia merupakan perkara berbeza.

“Yang dijawab dalam Parlimen sebelum ini kata peruntukan tak diberi kepada kami tapi melalui agensi kerajaan melalui projek yang dibangunkan. Seperti contoh beliau kata akan buat projek jalan raya.

“Tapi projek jalan raya ini bukan bawah tanggungjawab ahli Parlimen. Ia memang peranan kerajaan pusat dan pelaksanaan adalah melalui agensi,” katanya.

Sementara Ahli Parlimen Pokok Sena Ahmad Yahaya dari PN pula berkata setakat ini khidmatnya kepada rakyat berjalan lancar biarpun berdepan dengan cabaran tiada peruntukan diberikan.

Sama seperti yang lain, beliau  menggunakan wang sendiri bagi memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan di kawasannya.

“Pusat khidmat itu juga saya bangunkan sendiri dengan duit simpanan sendiri dan daripada gaji elaun ahli Parlimen dengan kos RM80,000.

“Bantuan rakyat pun guna duit sendiri dan mengikut kemampuan,” katanya.

Katanya, adalah tidak wajar kerajaan meletakkan pelbagai syarat untuk memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, PH sepatutnya menunaikan janji mereka memberikan peruntukan sama rata kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang seperti janji mereka dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bantuan terpaksa dikurangkan

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid berkata juga terpaksa mengehadkan bantuan atas faktor kekangan tersebut.

Katanya, keadaan tersebut mengecewakan memandangkan menerima begitu banyak permintaan daripada orang ramai yang memerlukan bantuan kerana terkesan dengan masalah kenaikan harga barang makanan asas.

Beliau berkata, jika menerima peruntukan ahli Parlimen, sudah tentu pasukannya boleh mengerakkan semula program pemberian bantuan makanan asas kepada rakyat yang memerlukan.

"Macam dulu masa Covid-19 kita ada buat 'Gerobok Prihatin' yang mana kita letak barang makanan asas seperti beras, biskut, gula di setiap masjid di daerah Hulu Terengganu ini.

"Jadi siapa yang memerlukan boleh ambil percuma.

“Sekarang ini kita tak dapat buat kerana masalah peruntukan. Bukan bermaksud kita tak buat langsung tapi terhad berbanding dengan permintaan itu begitu banyak,” katanya.