Tuesday, September 28, 2021

Zahid tiada liabiliti jenayah pecah amanah, kata peguam

Menurut peguam Hamidi Mohd Noh bekas pembantu Zahid yang mempunyai kawalan ke atas buku cek milik Yayasan Akalbudi.

Other News

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam kesemua 12 pertuduhan pecah amanah (CBT) yang dihadapi Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi kerana bekas pembantunya yang mempunyai kawalan ke atas buku cek milik yayasan dan bekas timbalan perdana menteri itu.

Peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Zahid, berkata pengeluaran 52 keping cek dalam pertuduhan CBT itu dikaitkan dengan bekas Setiausaha Eksekutif Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, yang merupakan saksi pendakwaan ke-90 (SP90).

“Bagi 12 tuduhan CBT, SP90 adalah saksi pendakwaan yang paling penting kerana pada waktu berkenaan, beliau mengendali urusan kewangan Yayasan Akalbudi, terutama ketika membuat pembayaran untuk akaun ayasan.

“Mejar Mazlina mempunyai kawalan penuh, pemilikan dan jagaan ke atas semua buku cek milik Yayasan Akalbudi dan tertuduh, dan beliaulah satu-satunya yang memegang kunci laci tempat cek itu disimpan, malah tertuduh sendiri tidak memiliki kunci tersebut.

“Keterangan SP90 bahawa beliau juga telah menguruskan hal-hal peribadi tertuduh, terutama urusan kewangan peribadi tertuduh termasuk cek peribadinya. Tugas-tugas ini dipikulnya setelah pemindahan tugas daripada Datuk Rosnah (setiausaha eksekutif tertuduh sebelumnya) kepada SP90,” katanya semasa berhujah pada akhir kes pendakwaan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Hamidi berkata dapat disimpulkan bahawa tertuduh sendiri tidak memiliki kebebasan atau akses untuk menyediakan cek berkenaan.

“Penelitian mengenai bagaimana dan mengapa cek itu dikeluarkan, akan menunjukkan bahawa liabiliti jenayah tidak dapat dikaitkan dengan tertuduh,” hujahnya.

Peguam itu berkata daripada 52 keping cek itu, 44 adalah berkaitan dengan caj kad kredit.

Hamidi seterusnya berhujah bahawa tidak ada liabiliti jenayah terhadap tertuduh berkenaan dengan 32 keping cek dicap yang digunakan untuk pembayaran kad kredit.

Beliau berkata anak guamnya tidak meletakkan tanda tangan yang dicap pada semua 32 keping cek tersebut, malah tiada bukti bahawa cap itu ada di tangan tertuduh tetapi bukti yang jelas menunjukkan SP90 melakukannya.

“Kebersalahan itu pada SP90 kerana beliau secara cuai telah meletakkan cap pada cek. Walaupun ada keterangan bahawa tertuduh telah memberikan kebenaran (yang dibantah), keterangannya mengenai hal ini serta lainnya yang beliau berusaha untuk mengaitkan tertuduh tidak memberikan keyakinan.

“Ada sebab lain mengapa keterangan SP90 yang menyatakan bahawa tertuduh bersetuju untuk menggunakan ‘cap’ bagi tujuan cek tidak boleh dipercayai. Alasannya ialah pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang kebenaran kepada bank untuk menjelaskan ceknya dengan tandatangan yang dicap dan bukannya ditulis tangan,” katanya.

Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan – 12 melibatkan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 atas dakwaan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi 12 tuduhan CBT, Zahid didakwa telah menggunakan dana tersebut untuk membuat pembayaran bil kad kredit peribadi, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, selain kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pihak pembelaan akan meneruskan hujah esok.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles