- Iklan -
Berita

Chile lulus suntikan Sinovac kepada kanak-kanak berusia 6 tahun ke atas

Negara Amerika Selatan itu telah pun meluluskan penggunaan Pfizer-BionTech kepada kanak-kanak berusia lebih dari 12 tahun.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Vaksin Sinovac Coronavac keluaran China adalah vaksin terbaru diluluskan untuk diberi kepada kanak-kanak Chile. Gambar: AFP
Vaksin Sinovac Coronavac keluaran China adalah vaksin terbaru diluluskan untuk diberi kepada kanak-kanak Chile. Gambar: AFP

Badan kesihatan Chile pada Isnin meluluskan vaksin Covid-19 yang dibuat China Sinovac Biotech Ltd bagi diberikan kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke atas, menjadikan lebih ramai golongan penerima vaksin dalam negara itu selaras dengan peningatan kempen inokulasinya.

Negara Amerika Selatan itu telah pun meluluskan penggunaan Pfizer-BionTech kepada kanak-kanak berusia lebih dari 12 tahun dengan 654,053 orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos sejak Mei lalu.

Vaksin Sinovac Coronavac menjadi tulang belakang program vaksinasi di Chile di mana 13 juta dari 19 juta penduduknya telah menerima vaksin lengkap setakat ini dengan 19.49 juta dos diberikan secara keseluruhan.

“Ini satu berita baik bagi kanak-kanak sekolah dan mereka yang tidak dimasukkan ke dalam pelan vaksinasi sebelum ini,” kata Menteri Kesihatan Enrique Paris.

Lima pakar daripada panel penilaian yang dibuat Institut Kesihatan Awam Chile bersetuju untuk melaksanakan suntikan vaksin kepada kanak-kanak berusia lebih enam tahun, sementara dua lagi mengundi pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lebih dari 12 tahun, dan seorang daripada panel itu tidak bersetuju vaksinasi kepada kanak-kanak.

CoronaVac juga mendapat kelulusan darurat untuk diberikan kepada kanak-kanak di Indonesia dan China.

Sejak beberapa minggu lalu, Chile menyaksikan penurunan signifikan dalam angka jangkitan, merekodkan hanya 435 kes baru semalam.

Negara itu juga mencatatkan 1.6 juta jangkitan Covid-19 dan 37,108 kematian.