Sunday, September 26, 2021

Ismail dilantik Agong, tak perlu undi percaya, kata peguam negara

Idrus Harun berkata sekiranya masih memerlukan keabsahan ini bermakna kuasa mutlak Agong memilih perdana menteri boleh diatasi pihak lain.

Other News

Peguam Negara Idrus Harun berkata hari ini tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri atau kerajaan pimpinannya kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang.

Idrus menambah sekiranya masih memerlukan keabsahan, ini bermakna kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu boleh diatasi pihak lain.

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Agong seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9 Malaysia selepas peletakan jawatan Muhyiddin Yassin yang kehilangan majoriti selepas beberapa ahli Parlimen Umno diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak menarik sokongan terhadap beliau.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong selepas menerima sokongan dari 114 ahli Dewan Rakyat dari keseluruhan 220 ahli.

Idrus berkata Agong telah menerima kehadiran pemimpin-pemimpin utama parti politik pada 17 Ogos lalu selain menerima surat akuan bersumpah (SD) semua ahli Dewan Rakyat yang menyatakan calon perdana menteri pilihan mereka.

“Susulan daripada penerimaan surat-surat akuan tersebut, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima mengadap seramai 114 ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos 2021 untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai perdana menteri iaitu Ismail Sabri bin Yaakob, ahli Parlimen Bera.”

“Pada 21 Ogos juga perdana menteri yang baru telah pun mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah taat setia dan simpan rahsia di hadapan Seri Paduka Baginda menurut kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan proses pemilihan yang telah dijalankan dengan teliti dan telus untuk melantik perdana menteri ke-9 seperti yang dinyatakan di atas, secara jelas pelantikan Ismail Sabri bin Yaakob sebagai perdana menteri ke-9 adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles