Tuesday, September 28, 2021

Belia Sarawak menangi kes tuntutan pelaksanaan Undi 18

Ini akan membolehkan sebahagian 135,000 belia Sarawak mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Other News

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini mengarahkan kerajaan untuk melaksanakan peraturan had undi 18 tahun, membolehkan sekitar 135,000 golongan muda Sarawak berusia antara 18 dan 20 tahun untuk mengundi pada pilihan raya akan datang.

Keputusan tersebut merupakan satu kemenangan bagi lima belia yang memfailkan semakan semula kehakiman bagi menggesa Putrajaya untuk melaksanakan undang-undang yang menurunkan had umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun selepas ia diluluskan secara sebulat suara di Parlimen dua tahun lalu.

Ivan Alexander Ong, 19, salah seorang pemohon hari ini berkata kemenangan tersebut adalah tidak dijangka, ketika berharap dapat menghantar mesej jelas bahawa menangguhkan undi 18 adalah “tidak rasional, bercanggah undang-undang dan tidak adil” selain disifatkan sebagai satu “kezaliman kepada pengundi”.

“Jadi, saya dan rakan-rakan pemohon yang lain sangat gembira dengan keputusan penghakiman hari ini.

“Sekarang, pada pilihan raya umum akan datang, dianggarkan lapan juta pengundi baru akan mengundi, satu angka signifikan yang akan mengubah hala tuju pilihan raya,” kata Ong.

“Dalam hal pembaharuan undang-undang ini, anggota Kabinet yang menubuhkan kerajaan juga perlu ada keazaman untuk lakukan pembaharuan.”

Dalam kenyataan mengalu-alukan keputusan itu, kumpulan pendesak Undi Sarawak berharap penghakiman sama turut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan depan, dalam permohonan yang sama oleh 18 pemohon.

“Kami harap keputusan hari ini akan menjadi duluan bagi mahkamah di Kuala Lumpur dan menjadi pencapaian penting belia Malaysia.

“Dengan keputusan hari ini, belia Malaysia akhirnya dapat melaksanakan hak asasi Perlembagaan yang diperuntukkan dalam menuju ke arah Malaysia yang lebih sejahtera,” kata kumpulan tersebut.

Ong, Sharifah Maheerah Syed Haizir, Chang Swee Ern dan Priscilla Grace Poul menamakan kerajaan Malaysia, perdana menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden dalam tuntutan semakan kehakiman yang difailkan pada Mei.

Mereka menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa tindakan menangguhkan pelaksanaan menurunkan had umur 18 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya adalah bercanggah dengan undang-undang.

Umur mengundi pilihan raya Malaysia diturunkan dari 21 kepada 18 tahun selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019, dan diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai tahun yang sama.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, SPR berkata Undi 18 dan daftar pemilih automatik hanya akan dilaksanakan selepas 1 September tahun depan berikutan beberapa isu berhubung Covid-19.

Ia telah mencetuskan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Khairy Jamaluddin yang merupakan menteri sains, teknologi dan inovasi ketika itu.

Mei lalu, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan Undi 18 pada tahun ini.

Menurut Takiyuddin yang merupakan menteri undang-undang sebelum ini, SPR masih meneliti beberapa perkara sebelum memuktamadkan perkara itu dan menjangka ia dapat dilaksanakan Julai ini sekali gus membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles