- Iklan -
Berita

Bekas ahli lembaga Felda bebas 29 tuduhan rasuah

Pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu selepas SPRM berpuas hati transaksi yang dipertuduhkan adalah wang duluan, yang telah dibayar balik sepenuhnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Noor Ehsanuddin  Mohd Harun Narrashi didakwa atas sepuluh pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.
Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashi didakwa atas sepuluh pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.

Bekas ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashi, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

Peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lalu.

“Sepatutnya, hari itu (21 Mei) ditetapkan untuk sambung bicara, namun pendakwaan memberitahu mahkamah untuk menarik balik kesemua pertuduhan tersebut.

“Ini berikutan, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat pernyataan pembelaan di bawah Seksyen 62 Akta SPRM, dan mereka berpuas hati bahawa kesemua transaksi yang dipertuduhkan adalah wang duluan (advances), yang telah dibayar balik sepenuhnya.

“Oleh itu, pihak pendakwaan menarik balik kes terhadap anak guam saya dan mahkamah kemudian melepas dan membebaskan Noor Ehsanuddin daripada kesemua 29 pertuduhan rasuah,” kata peguam itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada Ogos 2019 dan seramai 24 saksi pendakwaan, antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah memberi keterangan.

Noor Ehsanuddin, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Di Mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Kes di Johor Bahru dan Shah Alam dibicarakan bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen.