- Iklan -
Berita

WHO pantau varian ‘Mu’ dari Colombia

WHO berkata varian Mu memiliki beberapa mutasi yang menunjukkan ia berpotensi kebal vaksin.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
WHO mengklasifikasi varian Mu sebagai varian Covid-19 yang perlu diberi perhatian selepas ditemui pertama kali di Colombia, Januari lalu. Gambar: Bernama
WHO mengklasifikasi varian Mu sebagai varian Covid-19 yang perlu diberi perhatian selepas ditemui pertama kali di Colombia, Januari lalu. Gambar: Bernama

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pihaknya sedang memantau varian virus baru dikenali sebagai “Mu” yang ditemui kali pertama di Colombia pada Januari lalu.

Varian Mu secara saintifik dikenali sebagai B.1.621, ia diklasifikasi sebagai varian yang perlu diberi perhatian (VOI), kata badan kesihatan global itu dalam buletin mingguannya.

WHO juga berkata varian tersebut memiliki beberapa mutasi yang menunjukkan risiko kebal vaksin dan menegaskan kajian lanjut diperlukan untuk memahaminya.

“Varian Mu memiliki putaran beberapa mutasi yang menunjukkan potensi pelepasan imun tubuh,” kata buletin tersebut.

Wujud kebimbangan besar berhubung kemunculan mutasi virus baru ketika kadar jangkitan kembali meningkat di seluruh dunia.

Setakat ini, varian Delta mendahului dalam kes-kes jangkitan baru terutama terhadap individu yang tidak menerima vaksin dan wilayah-wilayah yang melonggarkan sekatan pergerakan.

Kesemua virus termasuk SARS-CoV-2 yang menjadi pencetus Covid-19, bermutasi dan hampir kesemua mutasi itu hanya memberi kesan kecil atau langsung tidak memberi kesan kepada sifat virus tersebut.

Namun beberapa mutasi virus tertentu boleh memberikan kesan terhadap sifat virus sekali gus menyebabkan ia lebih mudah tular dan menjangkiti individu, mempengaruhi kadar ketenatan jangkitan, dan kekebalannya dalam berdepan vaksin, ubat dan langkah-langkah penyembuhan.

Ketika ini, WHO telah mengenal pasti empat varian yang membimbangkan (VOC) termasuk Alpha yang dikesan di 193 negara, dan varian Delta yang dilaporkan wujud di 170 negara.

Lima lagi varian, termasuk Mu sedang dipantau badan itu.

Selepas kali pertama dikesan di Colombia, penularan varian Mu telah dilaporkan di beberapa negara Amerika Selatan dan Eropah.

WHO berkata kelaziman penularan virus itu di peringkat global sudah menurun di bawah 0.1% dalam jujukan kes yang dibuat.

Bagaimanapun, di Colombia, ia menunjukkan kelaziman yang tinggi sebanyak 39%.