- Iklan -
Berita

SOP lebih mudah ketika Malaysia siap sedia hidup bersama virus Covid-19, kata Khairy

Menteri kesihatan yang baru dilantik itu berkata virus Covid-19 akan menjadi endemik pada akhir Oktober depan.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata kerajaan akan memudahkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu rakyat Malaysia bersiap sedia untuk hidup bersama Covid-19 yang dijangka akan menjadi endemik pada akhir Oktober depan.

Bercakap dalam sidang media hari ini, beliau berkata Covid-19 akan diuruskan seperti penyakit-penyakit endemik lain, dan kementeriannya sedang menyiapkan pelan peralihan negara kepada norma baru.

“Kita perlu sedia terima hakikat walaupun kita berjaya mengawal Covid-19,dari segi kes jangkitan, kematina dan kemasukan ke hospital, kita perlu terima hakikat Covid-19 ini akan menjadi endemik, dan kita hidup bersama dengan virus ini.

“Ini konsisten dengan pendekatan negara-negara lain, kebanyakan negara juga sudah beralih daripada total containment kepada fasa endemik, di mana satu norma baru diperkenalkan, secara kita dapat hidup secara sihat dan selamat,” katanya.

Sebaliknya, Khairy berkata apa yang diperlukan sekarang ini adalah usaha-usaha dan langkah untuk mengubah tingkah laku rakyat Malaysia dan menumpukan amalan norma baru.

“Pertama, mengamalkan norma baru dari segi SOP yang akan dimudahkan nanti, yang kedua ‘mask mandate’ (pemakaian pelitup muka), itu akan diteruskan,KKM tidak ada lagi perancangan untuk melonggarkan ‘mask mandate’,” katanya.

Beliau berkata SOP baru yang akan diumumkan kerajaan nanti akan memudahkan warga Malaysia.

“Kerajaan akan umumkan langkah untuk memudahakan sop sedia ada, yang tidak banyak, terlalu rumit dan ‘complicated’.

“Supaya bila masuk di fasa endemik nanti, kita ada sop yang mudah jelas dan dapat sama-sama praktik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menambah program vaksinasi kebangsaan dilihat menunjukkan kesan dalam mengurangkan kadar jangkitan di samping berkata keutamaan kementerian kesihatan ketika ini adalah untuk mengurangkan angka-angka jangkitan dan kematian termasuk beberapa kes yang dikategorikan sebagai “brought-in-dead” (BID), merujuk kes kematian yang berlaku di luar hospital atau mengalami gejala buruk secara tiba-tiba dalam tempoh kuarantin.

“Kawalan kendiri perlu dilaksanakan, jalani pemeriksaan segera jika sudah ada alami kemerosotan gejala, demam berpanjangan, sukar bernafas, sakit dada, tiada selera makan dan minum, kelesuan bertambah teruk, kurang tahap sedar atau keliru, batuk, muntah semakin teruk, bibir jari kebiruan, dan oksigen kurang dari 95%.

“Mereka yang ada gejala ini perlu segera hubungi CAC atau 999,” katanya.

Menurut Khairy, ketika ini kerajaan sedang menyasarkan sekurang-kurangnya 80% populasi dewasa menerima vaksin lengkap jika bekalan vaksin mencukupi.

Katanya, usaha penghantaran vaksin dan menyegerakan proses vaksinasi sedang dijalankan ketika ini bagi meningkatkan kadar vaksinasi dalam negara.

Khairy juga berkata kementerian kesihatan sedang mengkaji ketepatan peranti digital kuarantin, bagi memantau individu yang dikuarantin.

Sejak 10 Ogos lalu, beliau berkata 20,000 orang yang melakukan perjalanan masuk ke dalam negara memohon untuk menjalani kuarantin di rumah dengan 4,000 daripada pemohon dibenarkan melakukannya.

Menurutnya 404 daripada mereka menggunakan peranti digital di bawah projek perintis.

“Bila kita sudah puas hati dengan ketepatan dan keberkesannya kuatantin digital, kita akan putuskan,” katanya dan menambah tidak semua orang dibenarkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Mereka yang mahu masuk Malaysia perlu memohon untuk kuarantin kendiri di rumah.

“Saya juga sudah mengarahkan kementerian untuk menyediakan panduan bagi mereka yang melakukan pantau kendiri di rumah dalam satu bahagian aplikasi MySejahtera sebelum arahan-arahan yang diberikan oleh kakitangan kesihatan,” katanya.

Khairy berkata kerajaan menetapkan harga siling bagi kit ujian Covid-19 dan menambah orang ramai perlu membiasakan diri untuk menggunakannya sebagai sebahagian usaha mengurangkan jangkitan virus.

“Kami bersetuju kit ujian Covid-19 mesti mampu dibeli supaya kontak rapat dengan mereka yang diuji positif boleh membelinya dari farmasi untuk jalankan ujian kendiri.”