- Iklan -
Berita

Bekas ketua menteri Sabah Sakaran Dandai meninggal dunia

Sakaran berasal dari Semporna dan turut berkhidmat sebagai yang di-pertua negeri Sabah kelapan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas Yang di-Pertua Sabah Sakaran Dandai. Gambar: Facebook
Bekas Yang di-Pertua Sabah Sakaran Dandai. Gambar: Facebook

Bekas yang di-pertua negeri Sabah Sakaran Dandai meninggal dunia di Hospital Gleaneagles awal pagi ini.

Perkara itu disahkan cucunya Ahmad Marzuki Nasir dan memaklumkan Sakaran, 91, meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi tadi.

“Sama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.

Pada 18 Ogos lepas, Sakaran dimasukkan ke hospital itu kerana disyaki dijangkiti Covid-19, sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 25 Ogos.

Sakaran berasal dari Semporna dan berkhidmat sebagai yang di-pertua negeri Sabah kelapan bermula 1 Januari 1995 hingga 31 Disember 2002 dan sebelum itu pernah menjadi ketua menteri Sabah kelapan pada 1994.

Allahyarham memainkan peranan penting untuk Sabah dan negara khususnya, dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan masyarakat serta menyebarluaskan kesusasteraan Islam.

Jasa Allahyarham amat dihargai sehingga menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017.