Monday, September 27, 2021

Taliban tahan 2 pejuang IS warga Malaysia di Kabul

Mereka termasuk antara enam orang yang disoal siasat oleh Taliban.

Other News

Pihak berkuasa Taliban sedang menyoal siasat dua warga Malaysia yang berjuang bersama IS-K, sebuah sayap kumpulan pengganas IS atau Daesh di Afghanistan yang menyasarkan Taliban dan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS), lapor The Times yang berpangkalan di Britain.

Ia memetik ketua perisikan Taliban Maulawi Saifullah Mohammed yang mengatakan kedua-dua mereka ditahan bersama empat lagi pejuang IS-K sepanjang pertempuran berbalas tembakan pada malam Khamis.

“Empat dari mereka adalah warga Afghanistan namun dua lagi nampak seperti warga Malaysia,” kata Saifullah seperti dipetik The Times.

Bagaimanapun, laporan tersebut tidak memberikan butiran mengenai warga Malaysia yang ditahan.

Saifullah berkata tahanan IS akhirnya akan “menyerah” sewaktu soal siasat.

“Mereka tidaklah sekuat yang mereka sangka. Kami baru saja kalahkan tentera dari 36 negara Nato, jadi kami tahu kami boleh tangkap dan bunuh Daesh bila kami jumpa mereka,” katanya.

Kenyataan itu susulan pertempuran berterusan antara Taliban dan IS di Kabul selepas serangan bunuh diri anggota kumpulan itu di lapangan terbang Kabul menyebabkan lebih 200 orang meninggal dunia termasuk lebih sepuluh anggota tentera AS.

IS-K ditubuhkan oleh anggota Taliban yang tidak berpuas hati dengan matlamat untuk menubuhkan khilafah Islam di wilayah yang pernah dikenali sebagai Khurasan yang ketika ini meliputi timur laut Iran, sebahagian afghanistan dan beberapa wilayah di Asia Tengah.

Warga Malaysia telah menjadi antara ribuan pejuang asing yang menyertai IS ketika kemuncak perang di Iraq dan Syria.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata sejumlah 102 warga Malaysia dikenal pasti meninggalkan negara unutk menyertai IS, dan 40 orang daripada mereka meninggal dunia dalam pertempuran.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles