Saturday, September 25, 2021

Cadangan pembinaan lebuh raya PJD Link dalam proses rundingan pelaksanaan

Mesyuarat kerajaan negeri bersetuju secara dasar dengan cadangan projek PJD Link.

Other News

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, cadangan pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), ketika ini dalam proses rundingan antara pihak kerajaan persekutuan dengan syarikat pencadang, bagi tujuan pelaksanaannya.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke-34/2020 pada 30 Sept 2020, telah mengambil maklum pembentangan projek daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), berkenaan cadangan projek PJD Link.

“MMKN dalam mesyuarat yang sama telah menimbang dan bersetuju secara dasar dengan cadangan projek PJD Link, dan telah menetapkan syarat-syarat di mana projek berkenaan dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Pihak konsesi perlu melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Sosial (SIA) bagi pelaksanaan projek ini, termasuk mengadakan sesi ‘public engagement’ bersama penduduk setempat yang terlibat dalam jajaran yang dicadangkan.

“LLM mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), bagi penyelarasan pembinaan projek PJD Link dengan pembangunan yang telah diluluskan di peringkat MBPJ di kawasan rizab sungai,” katanya yang menjawab soalan R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) pada persidangan DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

Rajiv ingin mengetahui berhubung status cadangan pembinaan lebuh raya PJD Link di Petaling Jaya, serta status kelulusan sudah diberi kepada syarikat pencadang.

Izham berkata, pindaan kepada Rancangan Tempatan Petaling Jaya perlu dilaksanakan dengan adanya pembinaan projek itu, dan proses pengambilan balik tanah hendaklah diselesaikan terlebih dahulu.

“Kesemua syarat yang telah disenaraikan di atas perlu dilaksanakan dan diselesaikan terlebih dahulu, sebelum pembinaan lebuh raya ini dapat dimulakan oleh syarikat konsesi. Syarat-syarat ini telah ditetapkan oleh kerajaan negeri, bagi mengelakkan isu-isu seperti urusan tanah yang masih belum selesai yang membelenggu projek lebuh raya sedia ada, serta bantahan penduduk setempat terhadap jajaran lebuh raya yang melalui kawasan kediaman,” katanya.

Jelas Izham lagi, pihak syarikat juga perlu mendapatkan kelulusan mesyuarat jemaah menteri bagi tujuan untuk menandatangani perjanjian konsesi, sebelum pembinaan dapat dimulakan.

“Perincian berkenaan syarat dan terma perjanjian konsesi sedang dirundingkan di peringkat kerajaan persekutuan, melibatkan agensi seperti Unit Kerjasama Awam Swasta, kementerian kerja raya, Jabatan Peguam Negara, kementerian kewangan dan LLM,” katanya.

Izham berkata, cadangan penswastaan projek lebuh raya PJD Link telah dimaklumkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos 2017, dan cadangan ini dipersetujui secara prinsip oleh jemaah menteri melalui kaedah Bina-Kendali-Pindah (BOT), tertakluk kepada rundingan lanjut mengenai cadangan teknikal dan kewangan projek.

“Kerajaan persekutuan juga telah menetapkan bahawa, rundingan dengan syarikat hanya boleh dimulakan selepas pihak syarikat mendapat kelulusan dasar daripada kerajaan negeri Selangor, mengenai cadangan pelaksanaan projek ini,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles