Saturday, September 25, 2021

Sabah terima 53,000 dos vaksin CanSino

Satu lagi kumpulan dos vaksin satu suntikan itu akan diterima Sabah dalam masa terdekat.

Other News

Sabah menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis CanSino sebanyak 53,000 dos manakala kumpulan seterusnya vaksin dos tunggal itu dijangka turut diterima pada bulan ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata vaksin itu dapat membantu melancarkan program vaksinasi di Sabah, lebih 1.46 juta penduduk di negeri tersebut menerima dos pertama vaksin Covid-19 manakala 866,228 orang lagi telah melengkapkan dua dos suntikan.

“Kadar vaksinasi orang dewasa iaitu 18 tahun dan lebih di Sabah telah mencapai 53.3% (dos pertama) dan 31.4% daripada mereka telah menerima dua dos lengkap,” menurutnya dalam sebuah kenyataan semalam.

Sebelum ini, Ketua Menteri Hajiji Noor dilaporkan berkata kerajaan negeri mengemukakan permohonan agar Sabah diberi keutamaan untuk menerima CanSino dan telah memohon 1.8 juta dos vaksin jenis itu kepada Kerajaan Persekutuan.

Rose berkata Jabatan Kesihatan Sabah dan kerajaan negeri terus mempergiat vaksinasi di kawasan pedalaman dan sukar dicapai selain terus membuka pusat pemberian vaksin secara jumpa terus.

Beliau berkata berdasarkan data jabatan itu, sebanyak 80 hingga 90% pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) merupakan individu yang tidak divaksin, oleh itu, beliau menyeru agar semua penduduk mendapatkan vaksinasi.

“Pada masa ini, jangkitan Covid-19 telah pun berleluasa dalam komuniti, semua orang berisiko untuk menjangkiti dan dijangkiti. Pada masa ini juga, tindakan pencegahan di peringkat individu adalah kunci utama menghalang penyebaran virus ini.

“Pematuhan SOP iaitu sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan terbuka, mengamalkan penjarakan fizikal satu meter, tidak bersentuhan dan kerap mencuci tangan mesti dilakukan di mana pun mereka berada,” katanya.

Mengulas kes lambat daftar, Dr Rose Nani berkata ia terjadi apabila kes yang dikesan meningkat mengakibatkan beban ujian makmal dan kerja petugas turut meningkat.

Katanya sehubungan itu, beberapa langkah penambahbaikan sedang dilakukan termasuk penyumberluaran, meningkatkan jumlah anggota yang menjalankan ujian, memanjangkan waktu bertugas di makmal sehingga 12 tengah malam dan meningkatkan keupayaan ujian secara teknikal.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles