- Iklan -
Berita

Persoalan timbul mengenai kelayakan SD ahli Parlimen Warisan

Speker Dewan Rakyat Azhar Harun berkata beliau sudah memperingatkan ahli Parlimen dalam bahasa yang mudah difahami.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang tular di media sosial, Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman menunjukkan surat akuan sumpah beliau mengenai calon perdana menteri.
Gambar yang tular di media sosial, Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman menunjukkan surat akuan sumpah beliau mengenai calon perdana menteri.

Ketika Istana Negara mengumpulkan surat akuan bersumpah (SD) dari 220 ahli Parlimen untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pilihan mengenai siapa yang bakal mengetuai kerajaan baru, satu surat mungkin akan ditolak kerana tidak lagi layak berikutan melanggar syarat-syarat kerahsiaan.

Dalam sebuah gambar yang tular, ahli Parlimen Warisan Azis Jamman menunjukkan surat akuan beliau kepada Istana Negara di media sosial menyebabkan warga internet mempersoalkan sama ada calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) kehilangan satu undi.

“Kalau arahan semudah ini pun tak boleh ikut, macam mana nak jaga rahsia negara?” tulis seorang pengguna Facebook Husbaby Yana selepas gambar itu tular di media sosial.

Warisan sebelum ini mengumumkan akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Walaupun pengumuman terbuka dibuat mengenai sokongan daripada pemimpin-pemimpin parti politik, ahli-ahli Parlimen tetap berhati-hati untuk tidak mendedahkan butiran surat akuan sokongan mereka.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata ahli-ahli Parlimen hanya memiliki tempoh sehingga 4.00 petang hari ini untuk menyerahkan surat akuan sokongan kepada Istana Negara yang menyatakan pilihan calon perdana menteri mereka susulan peletakan jawatan oleh Muhyiddin Yassin awal minggu ini.

“Perlu dijelaskan, mana-mana surat akuan Yang Berhormat yang tidak mematuhi perkara-perkara di atas ataupun yang diterima lewat tidak akan diambil kira.

“Ahli-ahli yang berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan Surat Akuan tersebut sehingga ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai perkara di perenggan 2 di atas,” kata Azhar memperingatkan ahli-ahli Parlimen dalam sebuah surat.

Azhar menolak untuk mengulas ketika dihubungi namun berkata: “Saya tulis dalam BM yang mudah”.