- Iklan -
Berita

Muhyiddin ‘gentleman’ utamakan rakyat ketika kemelut politik memuncak

Seorang penganalisis berkata ia menjawab tuduhan pemimpin Bersatu itu gila kuasa.

Ahmad Mustakim Zulkifli dan Aliff Fikri
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita menyaksikan perutusan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berucap semalam. Gambar: Bernama
Seorang wanita menyaksikan perutusan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berucap semalam. Gambar: Bernama

Tindakan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan ketika kemelut politik negara mencapai puncaknya disifatkan penganalisis politik sebagai satu tindakan yang “gentleman” kerana beliau tidak berpaut kepada kuasa selepas hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Ahmad Marthada Mohamed berkata, ia menampakkan keikhlasan Muhyiddin untuk tidak lagi berpegang kepada kuasa selepas kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Justeru, masyarakat perlu berterima kasih dan menghargai tindakan meletakkan jawatan oleh Muhyiddin kerana beliau meletakkan kepentingan rakyat melangkaui kepentingan diri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Semalam, ahli Parlimen Pagoh itu mempersembahkan warkah peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.

Tindakan itu dilakukan selepas 15 ahli Parlimen Umno yang diketuai presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak menarik sokongan mereka kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), selepas beliau enggan berkompromi terhadap kes-kes rasuah dan salahguna kuasa mereka.

Dengan penarikan sokongan itu, Muhyiddin mempunyai sokongan 100 ahli Parlimen, berbanding 120 yang menentangnya.

Dua kerusi Parlimen (Gerik dan Batu Sapi) kosong selepas penyandang meninggal dunia.

Bagaimanapun, sehingga saat ini, masih belum ada kepastian tentang ahli Parlimen manakah yang mempunyai sokongan yang lebih besar daripada blok Muhyiddin untuk membentuk kerajaan baru.

Menurut Marthada, ucapan beliau semalam boleh disifatkan sebagai persediaan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya rasa solusi terbaik ialah mengadakan PRU bagi mengelakkan ketidakstabilan dalam kerajaan selepas ini, namun keadaan pandemik tidak memungkinkan PRU untuk masa ini,” katanya.

Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir ucapan Muhyiddin yang dibuat dengan nada sayu itu sebagai isyarat memohon rakyat mengerti cabaran dan kesukaran sepanajng mentadbir negara ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Pada saya kerajaan Muhyiddin bukanlah yang terburuk dan bukan juga yang terbaik.

“Beliau berdepan dengan bermacam ujian antaranya virus Covid-19, kerenah beberapa menteri yang tidak berfungsi dan sebagainya.

“Namun satu perkara positif adalah dunia telah mengakui bahawa Malaysia bawah kepimpinan Muhyiddin adalah antara negara terpantas memberikan vaksin kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Antara intipati ucapan Muhyiddin semalam ialah beliau menegaskan tidak akan berkompromi dengan kumpulan kleptokrat Umno, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan.

Selain itu, beliau berharap agar imunisasi kelompok dapat dicapai dalam tempoh dua bulan bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan.

Muhyiddin terdahulu berkata keabsahan beliau akan ditentukan menerusi satu undi percaya yang dijadualkan berlangsung pada September ini di Dewan Rakyat.

Usaha untuk mengadakan kerjasama rentas parti juga gagal apabila Umno dan Pakatan Harapan (PH) sebulat suara menolak tujuh tawaran yang dikemukakan Muhyiddin pada 13 Ogos lepas.

Peletakan jawatan itu disambut baik oleh pemimpin-pemimpin PH yang memuji tindakan itu sebagai berlandaskan Perlembagaan.

Bagi Pengarah Bower Group Asia Adib Zalkapli, peletakan jawatan itu menyelamatkan legasi politik beliau.

“Dia mengingatkan masyarakat awam mengenai situasinya ketika dipecat pada 2015, dan ia merupakan titik perubahan yang besar bukan sahaja untuk kerjaya politiknya namun landskap politik Malaysia juga,” katanya kepada MalaysiaNow.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020 dan membentuk kerajaan PN selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad.

Selepas peletakan jawatan semalam, Muhyiddin kini memegang amanah sebagai perdana menteri “caretaker” yang dilantik Agong, sementara menunggu perdana menteri baru dipilih dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang mempunyai sokongan majoriti.