- Iklan -
Berita

Pembukaan sekolah dilewatkan ke 3 Oktober, kata menteri pendidikan

Keputusan itu diambil berdasarkan situasi semasa Covid-19, SOP akan diumumkan untuk negeri dalam fasa-fasa PPN.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Sesi persekolahan yang dijadualkan akan bermula September depan akan ditangguh ke bulan Oktober tahun ini.
Sesi persekolahan yang dijadualkan akan bermula September depan akan ditangguh ke bulan Oktober tahun ini.

Pembukaan sekolah yang dijadualkan pada 1 September ini dilewatkan ke 3 Oktober secara berperingkat, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata pembukaan itu yang mengambil kira situasi semasa Covid-19 dalam negara akan bermula dengan murid-murid kelas peperiksaan.

“Perincian mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara akan dimaklum dalam masa terdekat.

“Namun, berdasarkan SOP Majlis Keselamatan Negara, tiada sekolah akan dibuka untuk negeri fasa 1 PPN.

“Saya berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan video hari ini.

Katanya, KPM tidak membuat pengumuman terkini mengenai pembukaan sekolah kerana pengurusan Covid-19 yang berubah-ubah.

“Semua perkara ini berada dalam perancangan KPM, kita dah teliti dan susun rapi. Namun begitu, kita perlu melihat keadaan semasa sebelum kita memilih perancangan apakah yang akan dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kadar vaksinasi memabbitkan kakitangan yang bakal terlibat dengan pembukaan sekolah juga berada di tahap yang menggalakkan.

“Pada hari ini, jumlah guru yang sudah terima sekurang-kurangnya dos pertama ialah 92.4% dari 61.3% pada 17 Julai.

“Bagi Anggota Kumpulan Pelaksana, 87.9% menerima sekurang-kurangnya dos pertama manakala 72% kakitangan sokongan telah menerima dos pertama,” katanya.

Radzi memberi jaminan sekolah tidak akan dibuka kecuali seluruh ekosistem persekolah bersedia untuk menerima murid-murid secara bersemuka.

Menjelaskan kenyataan KPM pada 17 Julai lepas, beliau berkata ia bagi memastikan ekosistem sekolah bersedia untuk menerima murid secara bersemuka, namun tertakluk kepada penilaian risiko oleh kementerian kesihatan.

Katanya, ini kerana pembukaan semula sekolah membabitkan pergerakan lebih 5 juta murid dan 500,000 guru.

Jelas beliau, pembukaan sekolah tidak boleh dilihat secara keseluruhan memandangkan situasi Covid-19 berbeza di setiap negeri.