Tuesday, September 21, 2021

Kabinet Najib setuju ketua audit negara semak laporan audit 1MDB, kata saksi

Najib berkata pembentangan laporan kepada PAC perlu dipertimbangkan dan dirancang dengan berhati-hati bagi mengelakkan fakta atau isu-isu syarikat tersebut diputarbelitkan misalnya melalui pembocoran maklumat kepada pihak ketiga dan dijadikan kontroversi.

Other News

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa jemaah menteri sebelum ini di bawah pimpinan Najib Razak bersetuju agar ketua audit negara meneliti laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disediakan oleh firma audit, Deloitte Malaysia.

Bekas timbalan ketua setiausaha (TKSU) (Kabinet) Mazidah Abdul Majid, 72, ketika membacakan penyataan saksinya berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jemaah menteri (MJM) pada 4 Mac 2015, yang dihadiri 36 orang menteri yang kemudiannya disahkan dalam minit mesyuarat MJM bertarikh 13 Mac 2015.

Menurut Mazidah, beliau hadir pada MJM tersebut kerana tugasnya selaku TKSU Kabinet adalah untuk membantu ketua setiausaha negara (KSN) yang merupakan setiausaha jemaah menteri, untuk merekodkan minit MJM.

Ketika merujuk kepada minit MJM itu, Mazidah berkata Najib memberitahu ahli Kabinet dalam satu perutusan khas (sewaktu MJM) bahawa ketua audit negara akan meneliti laporan audit pengurusan kewangan dan pelaburan 1MDB yang disediakan Deloitte Malaysia serta mendapatkan dokumen sokongan bagi memastikan pelaburan syarikat itu teratur.

“Tambah Najib, satu lagi taklimat yang akan disampaikan dalam MJM ini adalah daripada pihak Deloitte Malaysia untuk menentukan sama ada terdapat salah laku seperti rasuah atau penyalahgunaan dana dan sebagainya dalam 1MDB.

“Taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy (ketika itu) pula akan memberikan fokus kepada penjelasan mengenai kedudukan dan pelan pemulihan 1MDB bagi menangani masalah aliran tunai jangka pendek dan jangka panjang berhubung obligasi hutangnya untuk memastikan kemampanan syarikat itu dalam jangka panjang,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli pada perbicaraan kes Najib dan Arul Kanda yang berdepan pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, Najib dalam perutusan khasnya turut berkata setelah ketua audit negara meneliti dan mengesahkan laporan audit 1MDB oleh Deloitte Malaysia, ia akan dibentangkan kepada jawatankuasa kira-kira wang negara (PAC).

“Bagaimanapun, Najib berkata pembentangan laporan kepada PAC mengenai 1MDB perlu dipertimbangkan dan dirancang dengan berhati-hati bagi mengelakkan fakta atau isu-isu syarikat tersebut diputarbelitkan misalnya melalui pembocoran maklumat kepada pihak ketiga dan dijadikan kontroversi,” katanya.

Sementara itu, ketika disoal balas peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah adakah keputusan (untuk meneliti laporan audit) tersebut dimaklumkan kepada agensi berkaitan iaitu Jabatan Audit Negara (JAN) dan PAC, Mazidah berkata beliau hanya memberitahu JAN, tetapi tidak PAC, kerana ia (PAC) tidak berada di bawah portfolio beliau.

Shafee: Adakah Tan Sri setuju bahawa Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu mencadangkan ini (penelitian semula laporan audit 1MDB) untuk memastikan hak 1MDB dilindungi?

Mazidah: Ya, berdasarkan minit MJM ini.

Shafee: Sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, Najib tidak mempunyai kepentingan peribadi terhadap 1MDB, kecuali untuk kepentingan rasmi?

Mazidah: Ia merupakan tanggungjawab Najib (untuk membangkitkan perkara tersebut).

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan ketua audit negara, sebelum laporan itu “sekali lagi dimuktamadkan” dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 September ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles