- Iklan -
Berita

SOP aktiviti sosial akan dilonggarkan kepada penerima vaksin lengkap mulai 10 Ogos

'Dine-in' di restoran, perjalanan rentas daerah dibenarkan kepada penerima vaksin lengkap di negeri-negeri Fasa 2 PPN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengusaha restoran perlu memastikan pengunjung telah menerima vaksin lengkap melalui sijil digital MySejahtera ketika membenarkan mereka 'dine-in' di restoran.
Pengusaha restoran perlu memastikan pengunjung telah menerima vaksin lengkap melalui sijil digital MySejahtera ketika membenarkan mereka 'dine-in' di restoran.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sosial akan dilonggarkan bagi yang menerima vaksin lengkap bermula 10 Ogos, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam perutusan khas hari ini, Muhyiddin berkata kemudahan kuarantin dan perjalanan akan diberikan kepada individu yang menerima vaksin lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Antara lain, pasangan berkahwin akan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah untuk bertemu pasangan.

Selain itu, ibu bapa yang menerima vaksin lengkap akan dibenarkan rentas negeri untuk menemui anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

Muhyiddin berkata, seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai yang lengkap vaksinasinya apabila memenuhi kriteria-kriteria ditetapkan.

“Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

“Dan bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke28 dari tarikh suntikan,” katanya.

Kemudahan lain yang dibenarkan kepada yang menerima vaksin lengkap adalah solat berjamaah di masjid bagi penganut Islam dan berkunjung ke rumah ibadat bagi penganut agama lain dengan mengikut SOP ditetapkan.

Menurut Muhyiddin, pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan kementerian perpaduan negara bagi rumah ibadat selain Islam.

Dalam pada itu, bagi negeri-negeri yang kini berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, kemudahan sektor sosial akan dibenarkan.

Antara lain, penerima vaksin di negeri-negeri tersebut akan dibenarkan merentas daerah, “dine-in” di premis restoran dan aktiviti sukan tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan.

Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (perseorangan), badminton (perseorangan), golf, permotoran dan seumpamanya.

“Kemudahan-kemudahan ini bukanlah bermakna kita boleh mengabaikan SOP-SOP yang ditetapkan.

“Kemudahan ‘dine-in’ dan aktiviti sukan terutamanya, adalah lebih berisiko bagi seseorang individu itu dijangkiti virus Covid-19.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP-SOP yang telah ditetapkan,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Penyelaras PPN Tengku Zafrul Aziz berkaa kes bergejala serius akan dijadikan indikator baru untuk peralihan PPN ke Fasa Dua dan Tiga.

Bagaimanapun, indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) masih dikekalkan.

“Setelah mencapai kadar vaksinasi 40% penduduk dewasa dan ke atas, bilangan kes baharu Covid-19 menjadi kurang relevan kerana kebanyakan kes adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (Kategori 1 dan 2), sekali gus mengurangkan beban terhadap infrastruktur kesihatan awam,” katanya.

Perlis, Labuan dan beberapa kawasan di Sarawak kini sudah beralih ke Fasa Tiga PPN.

Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah, Perak dan Pulau Pinang pula telah diletakkan di Fasa Dua PPN.

Sementara Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor, Kuala Lumpur and Putrajaya masih kekal di Fasa Satu.