Friday, July 30, 2021

Terkurung di balik jeriji besi ketika wabak Covid-19 melanda

Banduan penjara Sarawak belum divaksinasi, seorang bapa bimbang keselamatan anaknya yang masih berbaki dua tahun enam bulan tempoh hukuman.

Other News

Selama tujuh tahun Jahar menghabiskan sehari cutinya bagi setiap minggu untuk melawat anaknya, Khairul yang dikurung di Penjara Puncak Borneo di Kuching.

Khairul disabitkan kesalahan merompak dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.

Di bawah sistem peringanan hukuman yang dilaksanakan ketika ini, lelaki berusia 27 tahun itu memiliki baki dua setengah tahun lagi untuk menjalani hukuman penjaranya.

Untuk melawat Khairul, Jahar perlu menunggang motosikalnya selama 40 minit dari rumahnya di Kampung Gersik.

Sebaik sahaja tiba, dia akan menanti anaknya di telefon di bahagian pelawat, mereka dipisahkan kaca di bilik lawatan penjara itu.

Biasanya, mereka diberikan masa 30 minit untuk berbual dan saling mengkhabarkan apa yang berlaku dalam kehidupan harian.

Sekiranya kebetulan waktu itu adalah musim pertandingan bola sepak, perbualan akan dikuasai tentang pasukan bola sepak Inggeris, Liverpool.

Setengah jam untuk berbual setiap minggu sebenarnya tidaklah panjang, namun hanya itu sahaja pilihan yang ada – sehinggalah Covid-19 melanda negara.

Lawatan penjara dihentikan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus, dan lawatan mingguan juga turut dibatalkan.

Jahar berkata, beliau belum melawat anaknya sejak pandemik bermula.

Dia hanya boleh menunggu panggilan Khairul melalui inisiatif MyPhone yang disediakan jabatan penjara.

Walaupun kemudahan lain seperti panggilan video ditawarkan sebagai pengganti lawatan bersemuka, ini tidak memberikan tahap keselesaan yang sama bagi ahli keluarga.

Bagi orang seperti Jahar yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, kos internet juga menjadi masalah kepadanya.

Jahar risau mengenai keselamatan anaknya lebih-lebih lagi ketika varian Delta yang lebih mudah dijangkiti sudah mulai merebak.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia berkata pernah mendengar kisah jangkitan yang menular di penjara.

“Memandangkan betapa sesaknya keadaan dalam penjara, anak saya berisiko dijangkiti virus,” katanya.

“Setiap kali saya dengar berita mengenai jangkitan dalam kalangan tahanan di penjara, jantung saya berdegup kencang.”

Jahar berkata sudah beberapa kali dia bercakap dengan Khairul melalui telefon, namun sukar untuk mengawal emosinya.

“Sebagai ibu bapa, sebagai ayah, kadang-kadang kita terfikir-fikir bagaimanalah kalau-kalau dia dijangkiti virus?”

Harapan vaksin

Seperti jutaan orang lain di seluruh negara, Jahar juga menaruh harapannya pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dia masih tidak tahu sama ada anaknya sudah diberi vaksin, atau apakah dia mendaftar untuk menerima suntikan itu, namun berharap agar kerajaan tidak melupakan mereka yang kini berada di balik jerisi besi penjara.

“Dia tidak miliki telefon bimbit.

“Walaupun saya dapat daftar vaksinasi untuk dia, saya tak dapat bawa dia hadiri janji temu,” kata Jahar.

“Walaupun bimbang apa yang saya boleh buat adalah terus bergantung pada tuhan, berharap agar saya tidak dibiarkan tanpa sebarang maklumat mengenai anak kesayangan saya.”

Pakar Kriminologi Akhbar Satar berkata PICK harus disegerakan untuk tahanan penjara, beliau memberi amaran sukar untuk membendung penularan virus jika tahanan tidak dimasukkan daripada usaha vaksinasi.

“Tahanan harus diutamakan untuk vaksinasi kerana penjara mudah menjadi kluster Covid-19 memandangkan keadaannya yang sesak.

“Jangkitan di penjara akan merebak seluruh staf penjara dan jika mereka juga dijangkiti Covid-19, maka siapa yang akan jaga tahanan?”

Akhbar memberitahu MalaysiaNow tahanan yang hendak dibebaskan juga harus diberi vaksin.

“Sekurang-kurangnya setelah mereka dibebaskan, mereka juga dapat bantu lindungi masyarakat.

“Tahanan penjara juga manusia, dan mereka harus dilayan seperti orang lain dalam pelaksanaan vaksinasi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tahanan di Sarawak diberi suntikan vaksin Covid-19, pengarah penjara negeri Mohamad Rosidek Musa mengatakan tidak.

“Buat masa ini, mereka belum didaftarkan dan belum mendapat vaksin,” katanya kepada MalaysiaNow.

Namun, beliau menambah jabatan itu kini sedang bekerjasama dengan jabatan kesihatan dan jawatankuasa pengurusan bencana tentang bagaimana menyelesaikan isu vaksinasi tahanan penjara.

“Kami juga meletakkan SOP untuk tahanan sebelum mereka dibebaskan dari penjara,” katanya.

“Mereka akan dikuarantin selama 14 hari di pusat transit dan ujian swab akan dilakukan. Jika ujian mereka negatif, barulah kami akan bebaskan mereka.”

Sementara itu, Jahar masih menunggu berita mengenai anaknya.

Dia mengenang semula perkara biasa diceritakan kepada Khairul semasa perbualan mingguan mereka.

Dia akan mengingatkan Khairul untuk positif dan memberitahu sebagai bapa, dia percaya anak lelakinya itu boleh menjadi orang yang lebih baik.

“Saya selalu pesan pada dia bahawa apa sahaja yang dia pernah lakukan waktu lalu, ia adalah masa lalunya.

“Sebagai seorang bapa, saya terima semua kekurangannya dan saya akan tunggu sehingga hari dia dibebaskan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles