Monday, July 26, 2021

Kerugian peniaga kecil meningkat ketika ‘lockdown’ dilanjutkan

Ramai peniaga kehabisan simpanan tunai sementara yang lain terpaksa pertimbang untuk tutup perniagaan.

Other News

Ketika pelaksanaan “lockdown” bagi mengekang penularan Covid-19 diumumkan bermula 1 Jun lalu di seluruh negara, pereka fesyen rambut Thelma Mukit tahu perniagaannya akan berdepan hari-hari yang sukar.

Sebelum wabak itu melanda Malaysia awal tahun lalu, Thelma memiliki enam pekerja di salunnya yang terletak di Kuching, Sarawak.

Namun kini, dia hanya mampu mempertahankan dua pekerjanya.

Seperti ribuan perniagaan kecil lain di negeri itu, salun Thelma tidak disenaraikan dalam perkhidmatan perlu.

Setiap kali perintah kawalan pergerakan diumumkan, pintu premis perniagaannya terpaksa ditutup daripada beroperasi.

Keadaan demikian, memberi kesan buruk kepada situasi kewangannya.

Bahkan, sebelum sekatan pergerakan penuh yang baru-baru ini dilaksanakan, pelanggan semakin berkurang.

Selama itu, Thelma berdepan kesukaran untuk membayar sewa premisnya, dia terpaksa menggunakan simpanan wang tunainya.

“Kami bukan seperti syarikat besar yang mampu membayar kos bulanan mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sebagai pemilik perniagaan kecil, saya tidak cukup tunai untuk terus membayar gaji pekerja.”

Pasar raya lengang dengan penutupan kedai-kedai susulan sekatang pergerakan penuh.

Perkara ini menyebabkan beliau berasa sedih kerana sejak awal salunnya dibuka, Thelma menggaji pekerja-pekerja dari luar bandar bagi membantu mereka memperoleh pendapatan.

Sementara itu, ribuan kilometer dari Sarawak, di negeri Hang Tuah, Melaka, Syahir Naser terpaksa menutup perniagaan katering yang merudum selepas acara sosial dilarang.

Sebelum pandemik, Syahir biasa memperolehi pendapatan harian sebanyak RM120 dengan kerja penyediaan makanan dan kanopi untuk acara atau majlis selain turut menjalankan perkhidmatan sewaan sistem pembesar suara.

Namun, malangnya, pada pertengahan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, pemilik premis sewaannya meminta Syahir untuk keluar.

“Kalau tak ada PKP, saya mungkin masih dapat jana sejumlah pendapatan,” katanya.

“Dapat RM70 sehari pun sudah cukup untuk saya.”

Kini, Syahir melakukan apa yang sahaja yang boleh dilakukan, melakukan beberapa pekerjaan selain menyewakan sistem pembesar suaranya ke restoran.

Dia juga kini turut menjadi penghantar makanan, mengambil upah memotong rumput dan menjadi pemandu lori sambilan.

“Saya tidak yakin apakah saya mampu mulakan perniagaan katering lagi,” katanya.

“Namun modal sudah banyak dikeluarkan untuk perniagaan tersebut, jadi saya harus lakukannya juga.

“Isteri saya juga menawarkan diri untuk bantu perniagaan tetapi jujur saya cakap, saya tak tahu bila kami boleh mulakan perniagaan semula,” tambahnya.

Perniagaan perlu, tetapi operasi masih perlahan

Kembali ke Sarawak, kira-kira 30km dari pusat bandar Kuching, Miah Seman masih dapat membuka perniagaan kedai runcit kecilnya.

Namun, ketika ditemui MalaysiaNow di Kampung Sri Kandong, Miah berkata sekatan pergerakan penuh menyebabkan kerugian kepada peniaga kecil, terutama yang mengusahakan gerai di tepi jalan.

“Saya kasihan peniaga wanita Iban dari kampung sebelah beritahu saya mereka tidak dapat buka perniagaan seperti biasa,” katanya.

“Oleh itu, saya minta mereka letakkan barang-barang mereka seperti tikar anyaman dan bakul di kedai runcit saya. Lagipun, hanya kedai saya yang dibenarkan beroperasi pada masa ini, dan kedai saya adalah yang paling dekat dengan kampung mereka.”

Walaupun perniagaan Miah masih boleh beroperasi, perniagaannya mengalami kerugian teruk kerana Covid-19.

Larangan rentas daerah dan negeri, katanya, menjejaskan perniagaannya.

Biasanya, kampung tempat tinggal Miah yang terletak di tepi jalan menuju feri Rambungan ke Lundu, menerima ramai pengunjung, terutama sejak lebuh raya Telok Melano-Sematan selesai dibina.

“Sesiapa yang ingin pergi ke Ladang Strawberi Jentayu, Matang Wildlife, atau yang ingin menyaksikan bunga Rafflesia di Taman Negara Gunung Gading di Lundu akan melalui kampung ini.

“Kawasan ini banyak pengunjung, terutama pada hujung minggu dan waktu cuti. Oleh kerana itu, saya boleh dapat sekurang-kurangnya RM800 sebulan. Tetapi sekarang, dengan larangan perjalanan, jualan saya menurun dengan pendapatan hanya RM200,” katanya.

Chua Yong Seng memakai kostum Spiderman untuk menarik perhatian pelanggan ke kedai mi dagingnya.

Ketika ramai yang berjuang untuk terus bertahan, Chua Yong Seng pula terpaksa menghentikan perniagaannya, sekurang-kurangnya dalam tempoh mencabar ini.

Selama 10 tahun sebelum wabak melanda, dia mengusahakan sebuah restoran makanan laut kira-kira 50km dari Kuching.

Namun, sekarang, operasi restoran itu dihentikan kerana operasi untuk membuka restoran pada waktu malam dilarang.

Buat masa ini, Chua menjalankan gerai mi daging halal di perhentian bas berdekatan Hospital Serian.

“Virus ini benar-benar menjejaskan keadaan kita semua,” katanya.

“Wabak ini sangat mencabar bagi saya. Sejak ia melanda, saya hanya dapat memperoleh RM20 hingga RM30 sehari.”

Dia berusaha memikirkan pelbagai jalan untuk meningkatkan pendapatannya.

Idea terbaru yang difikirnya ialah mengenakan kostum Spiderman.

Nampaknya idea itu membuahkan hasil. Ia menarik ramai pelanggan dan Chua berjaya memperoleh RM100 hingga RM200 sehari.

Dari penyediaan awal hingga masakan terakhir, semuanya dilakukan oleh Chua seorang.

“Saya menyediakan semua ramuan dan memasak mi daging sendiri,” katanya.

Satu pinggan mi berharga RM8 bersama sebotol air mineral percuma.

Wang pendapatannya tidaklah banyak, namun ia cukup untuk menampung perbelanjaan keluarganya dan membayar sewa kedainya.

Berapa banyak lagi kerugian perlu ditanggung?

Di Selayang, Selangor, Ariff pernah memiliki perniagaan percetakan yang makin meningkat maju.

“Perniagaan kami berjalan lancar sejak awal dibuka,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jualan pun tinggi selama dua tahun berturut-turut.”

Namun, sejak pandemik melanda, seperti perniagaan yang lain, Ariff juga terpaksa menutup operasi kerana dianggap sebagai bukan perkhidmatan perlu.

Sebelum ini, dia menyewa lot kedai di tingkat bawah yang menyediakan lebih banyak ruang untuk mesin percetakannya.

Sekarang, dia terpaksa mengecilkan tempat operasi kerana tidak lagi mampu membayar sewa RM4,000 untuk ruang yang lebih besar.

“Kami masih perlu bayar sewa walaupun kami tidak boleh beroperasi semasa lockdown,” katanya.

“Setelah tiga bulan, kami putuskan untuk pindah kerana dah tidak mampu lagi.”

Bagaimanapun, Ariff tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan kedai percetakan harus dibenarkan dibuka semasa tempoh sekatan pergerakan penuh.

“Sebilangan besar pelanggan kami juga adalah perniagaan. Jadi jika perniagaan pelanggan kami dihentikan semasa lockdown, itu bermakna mereka tidak perlukan perkhidmatan kami.”

Seperti Syahir, dia ragu-ragu untuk terlalu memikirkan perancangan ke depan pada saat-saat yang masih tidak menentu ketika ini.

“Kehidupan kita hari ini sudah tidak boleh diramalkan, saya tak berani ambil risiko lagi,” katanya.

“Berapa banyak lagi yang perlu saya habiskan agar perniagaan ini dapat diteruskan? Berapa banyak lagi kerugian yang saya perlu tanggung?”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles