- Iklan -
Berita

19 lagi PPV institusi pengajian tinggi akan dibuka

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata ketika ini 26 PPV IPT beroperasi di seluruh negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin melawat PPV di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya. Gambar: Bernama
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin melawat PPV di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya. Gambar: Bernama

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang merancang untuk menambah 19 lagi Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) dalam usaha membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata ketika ini 26 PPV IPT beroperasi di seluruh negara dan penambahan itu akan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 45 PPV IPT.

“KPT akan terus komited untuk membantu Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

“Ketika ini, PPV IPT yang beroperasi mempunyai kapasiti 25,400 dos vaksin sehari dan sehingga 21 Jun lepas, seramai 200,016 orang telah menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru semalam.

Menurut kenyataan itu, Noraini turut menerima kunjungan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ke program rintis PPV Bergerak, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dekat Batu Pahat, semalam.

Noraini berkata PPV yang digerakkan sejak dua minggu lepas itu berperanan dalam memberikan akses vaksinasi dengan lebih meluas kepada masyarakat luar bandar.

“Selain HCTM, semalam PPV IPT Unimas berjaya mencatatkan rekod iaitu 5,584 penerima vaksin sehari. Secara keseluruhan sejumlah 37,758 penerima menerima vaksin di PPV berkenaan sejak ia beroperasi pada 10 hari lepas,” katanya.

Beliau berkata pada Isnin depan sebuah lagi PPV IPT akan dibuka di Universiti Sains Islam Malaysia yang boleh menerima kapasiti seramai 3,000 penerima vaksin sehari, selain mampu memberi manfaat kepada penduduk terutamanya di Negeri Sembilan.