- Iklan -
Berita

China gesa agihan vaksin global secara adil

Sifat 'nasionalisme vaksin' sesetengah negara dan tindakan memborong vaksin dengan jumlah yang jauh melebihi keperluan semakin membimbangkan

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kadar vaksinasi di negara-negara membangun masih perlahan akibat monopoli bekalan vaksin. Gambar: AP
Kadar vaksinasi di negara-negara membangun masih perlahan akibat monopoli bekalan vaksin. Gambar: AP

Wakil China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa lain di Geneva, Chen Xu mewakili lebih 60 buah negara membangun, menggesa vaksin diagih secara adil di seluruh dunia.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam sesi ke-47 Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) ketika dialog dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR), pada Isnin.

Chen berkata, penularan wabak Covid-19 masih berlaku di seluruh dunia dan turut memberi tempias kepada pembangunan sosiekonomi di negara membangun.

Menurutnya, vaksin merupakan kaedah paling berkesan untuk melawan wabak, dan ia sepatutnya menjadi produk kesihatan awam global.

“Bagaimanapun, sekarang kita hadapi halangan besar iaitu masalah kebolehcapaian, ketersediaan vaksin dan kemampuan membayarnya.

“Sifat ‘nasionalisme vaksin’ oleh sesetengah negara dan tindakan memborong vaksin dengan jumlah yang jauh melebihi keperluan juga semakin membimbangkan,” ujar Chen lagi.

China menggesa negara terlibat supaya berpegang pada janji selain membantu negara membangun atas dasar semangat kerjasama antarabangsa.

Ia termasuk sokongan kepada negara-negara itu dalam mendapatkan vaksin, meningkatkan kebolehcapaian dan pengeluaran vaksin tempatan bagi menyelamatkan nyawa dan melawan wabak dengan secepat mungkin.

Selain itu, negara yang berkemampuan diharap agar dapat mengambil bahagian dalam kerjasama antarabangsa secara aktif dan menghulurkan bantuan kepada negara membangun untuk mewujudkan pembangunan mampan serta menangani tempias wabak.