- Iklan -
Berita

Ravidasvir bakal tersedia di hospital dan klinik kerajaan, kata KP Kesihatan

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan ubat itu mampu mengurangkan kos rawatan Hepatitis C dalam tempoh 10 tahun.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Ubat Ravidasvir dalam bentuk tablet Ravida 200mg bakal tersedia di hospital dan klinik kerajaan bagi membolehkan pesakit Hepatitis C di negara ini mendapatkan ubat tersebut secara meluas selepas Malaysia menjadi negara pertama meluluskan pendaftaran bersyarat produk Ravida pada awal bulan ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja dalam proses nyahpusat pengeluaran ubat itu daripada penjagaan tertiari kepada penjagaan utama, malah memastikan ketersediaan ubat tersebut di semua klinik di Malaysia.

“Kita menggunakan strategi akses berintegrasi yang mana kita membina ekosistem. Ini merupakan langkah kesihatan awam bagi merawat dan mencegah penyakit sirosis hati, kanser hati dan kegagalan hati.

“Melihat kepada kos, ia berharga AS$300, namun dengan harga pasaran yang kompetitif, kita mahu menurunkannya kepada AS$100. Ia boleh dilakukan. Untuk tahun-tahun mendatang, ia diharap akan menjadi lebih murah,”  katanya.

Noor Hisham memaklumkan, terdapat 400,000 pesakit Hepatitis C di Malaysia yang sedang menunggu rawatan. Menerusi ubat yang lebih murah daripada yang sudahpun tersedia di pasaran.

Beliau berharap agar penyakit itu dapat dihapuskan menjelang 2030, selaras dengan hasrat Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Ravidasvir merupakan ubat baru yang dicipta hasil kerjasama Selatan-Selatan, dengan sokongan daripada organisasi tidak berasaskan keuntungan, Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi).

Ia dicipta sebagai antivirus tindakan terus (DAA) alternatif, memandangkan kebanyakan DAA sedia ada terlalu mahal.

Ujian klinikal bagi menilai tahap keberkesanan, keselamatan, dan farmakokinetik diadakan di Malaysia dan Thailand, dan ditaja oleh kementerian kesihatan kedua-dua negara.

Ujian klinikal Ravidasvir menunjukkan 97% kadar keberkesanan terhadap pesakit hepatitis C.

Pesakit perlu mengambil ubat itu dengan ubat sedia ada untuk merawat Hepatitis C, iaitu Sofosbuvir.

Pengarah hal-ehwal kawal selia Pharmaniaga Bhd Sharifah Fauziyah Syed Mohthar pihaknya kini dalam proses pengumpulan dokumen sebelum ubat tersebut boleh disediakan di hospital-hospital kerajaan.

“Kita mempunyai kapaisiti untuk membekalkan Ravidasvir dalam jangka masa terdekat dan pertengahan. Produk itu kini di peringkat akhir pembuatan dan validasi semua keperluan pendaftaran dalam tempoh separuh tahun lagi.

“Kita akan bekerjasama dengan pemegang taruh untuk mengenalpasti hospital-hospital terpilih.

“Pharmaniaga juga sedang dalam proses libat urus pakar-pakar daripada pakar dan hospital swasta,” katanya.