Monday, September 20, 2021

Perubahan kerjaya ketika pandemik, dari IT dan perunding kepada pertanian dan cendol

Sebilangan daripada mereka yang melakukan peralihan kerjaya bersyukur kerana dapat melakukannya, lockdown Covid-19 menjadikan perniagaan terus beroperasi.

Other News

Walaupun banyak perniagaan dan pekerja sedang berusaha keras berdepan cabaran kemerosotan ekonomi akibat Covid-19 selepas negara terpaksa menjalani tiga sekatan pergerakan penuh di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), wujud sebilangan daripada mereka mengambil pendekatan berbeza dengan memilih untuk mengubah bidang kerjaya .

Muhammad ‘Alif Fitri Mohd Arif menghabiskan enam tahun bekerja sebagai pengaturcara teknologi maklumat (IT) bebas di Lembah Klang.

Menjelang akhir tahun 2019, beliau tidak lagi mendapat tawaran kerja yang kerap seperti sebelumnya sehingga menyebabkannya terpaksa bertindak dan segera membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan untuk menampung kehidupan.

Ketika mencari peluang pekerjaan di tempat lain, dia bertemu dengan seorang rakan yang terlibat dalam bidang pertanian.

“Dia gunakan teknologi fertigasi di ladangnya.

“Ladang itu juga memiliki sistem siraman air automatik untuk tanaman yang sedang dijaga. Saya minat teknologi sehingga penggunaan sistem itu menarik perhatian saya,” kata ‘Alif kepada MalaysiaNow.

Namun, apa yang menjadi penghalangnya adalah tidak memiliki tanah untuk bekerja.

Namun beliau tidak gentar, dia mula bertanya dalam kalangan ahli keluarganya mengenai tanah yang boleh diusahakan.

Akhirnya beliau berjumpa dengan seorang saudaranya yang mengizinkannya mengusahakan sebidang tanah di Sepang, Selangor.

Tanah itu sudah 60 tahun tidak digunakan.

Menggunakan simpanannya sebagai modal, dia memulakan usaha barunya sebagai petani.

Daripada hanya kira-kira suku ekar kecil tanaman timunnya, dia kini memiliki ladang tanaman seluas setengah ekar dengan tambahan tanaman cili.

Pemuda berusia 29 tahun ini berkata dirinya bernasib baik kerana dapat menukar bidang kariernya sebelum pandemik yang melanda negara hanya beberapa bulan selepas memulakan usaha taninya.

“Ketika PKP dilaksanakan, pertanian dianggap sebagai sektor perlu, jadi saya masih dapat hasilkan pendapatan sepanjang tempoh tersebut.”

Selain ‘Alif, seorang perunding Maazan Mahamat Ajmi pula bertukar bidang kerjaya selepas beliau terpaksa berdepan impak krisis Covid-19.

Maazan menjadi perunding perancangan bandar selama 10 tahun sebelum dia beralih kepada bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Maazan kini menjadi pengusaha cendol di sebuah gerai di Shah Alam.

“Semasa PKP, syarikat saya beritahu bahawa mereka perlu berhentikan kakitangan. Saya tidak mahu tunggu, jadi saya terus berhenti dan balik kampung.

“Kemudian saya terfikir inilah masanya untuk mulakan perniagaan F&B, idea yang sudah lama dalam kepada saya.”

Menceburi bidang perniagaan F&B nampaknya satu langkah kanan kepadanya, dan dia sudah pun mengetahui selok beloknya kerana kerana ketika remaja selalu membantu ibunya menjual nasi lemak.

“Saya tidak fikir saya akan dapat bertahan dalam keadaan sekarang ini sekiranya saya buka perniagaan di sektor lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pakar ekonomi Barjoyai Bardai bersetuju mereka yang membuat peralihan kerjaya ke sektor penting akan mendapat manfaat ketika ini.

“Orang ramai tidak lagi boleh bergantung pada satu kerjaya sahaja,” katanya.

Menurutnya, ada faedah tambahan ketika mengusahakan kemahiran baru dan menggunakan kemahiran yang sedia ada di sektor baru.

Penambahan kemahiran baru juga akan berguna jika suatu hari, mereka kembali ke bidang lama mereka.

“Sebagai contoh, pengaturcara IT yang menjadi petani mungkin dapat bawa bersama teknologi kecerdasan buatan ke bidang pertanian, atau dia dapat luaskan penggunaan pengetahuannya dalam bidang pertanian dengan mengembangkan aplikasi atau perisian yang berkaitan dengan pertanian.”

Seorang profesor ekonomi di Universiti Sunway Yeah Kim Leng menggesa kategori sektor perlu atau tidak, mesti dijelaskan dengan lebih terperinci.

“Keperluan adalah berbeza mengikut bidang kesihatan awam, keselamatan negara, kesejahteraan, fungsi sosial dan ekonomi atau gabungan faktor-faktor ini,” katanya.

“Kebiasaannya, perkhidmatan perlu merujuk kepada aktiviti asas yang kritikal untuk memenuhi keperluan asas masyarakat. Namun apakah tahap keperluan itu adalah bergantung kepada sifat masalah atau ancaman yang dihadapi.”

Dalam kes pandemik Covid-19, beliau berkata kemungkinan akan ada pelaburan yang meningkat dalam penyelidikan kesihatan dan perubatan selain digitalisasi dan e-dagang di pelbagai sektor ekonomi setelah wabak berakhir.

Dalam pada itu, di ladangnya, Alif dilihat gembira dengan keputusan yang diambilnya.

“Apa yang saya suka tentang pertanian adalah produk kita akan sentiasa ada orang mahu. Ketika saya bekerja di sektor IT, pekerjaan saya bergantung kepada kehendak dan apa yang diberitahu klien saya.”

Bagi beliau bekerja di ladang tidak begitu sukar.

“Teknologi masa kini dah jadikan segalanya lebih mudah,” katanya.

“Saya hanya perlu atur sistem fertigasi dan jaga tempoh waktunya.”

Walaupun perubahan dalam kerjaya memudahkan ‘Alif untuk menghadapi cabaran Covid-19.

Kadang-kadang dia terkenang juga akan kehidupan lamanya di sektor IT.

“Sekiranya ada waktu saya ditawarkan projek IT, saya akan terima,” katanya.

“Saya boleh lakukannya pada masa lapang. Tinggalkan kemahiran saya dalam bidang IT bermakna sia-sialah ilmu saya.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles