- Iklan -
Berita

SPM 2021 dijalankan pada Februari tahun depan

Berdasarkan pengalaman SPM 2020, Menteri Pendidikan lahir keyakinan proses akan berjalan lancar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditangguhkan awal tahun 2022.
Peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditangguhkan awal tahun 2022.

Berikutan sesi persekolahan yang terganggu akibat penyebaran wabak Covid-19, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bagi murid tingkatan lima akan diadakan pada bulan Februari dan Mac tahun depan, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Katanya, ujian lisan dan amali sains akan berlangsung pada Februari tahun depan manakala peperiksaan bertulis dijalankan pada Mac 2022.

“KPM mengambil keputusan membuat ketetapan ini mengambil kira situasi semasa dan cabaran yang perlu dilalui oleh calon-calon SPM 2021.

“Pengalaman kita dalam menguruskan SPM 2020 membolehkan kita menganjakkan tempoh SPM 2021 ke 2022 dan kita yakin segala proses berkaitan SPM 2021 akan berjalan lancar seperti mana kita laksanakan SPM 2020,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Ditanya mengenai kebarangkalian membenarkan sekolah dibuka kepada murid yang menghadapi peperiksaan, Radzi berkata: “Sekiranya sekolah dibuka, murid-murid yang menghadapi peperiksaan akan diberi keutamaan untuk menghadiri sekolah secara bersemuka.”

Menjawab dakwaan jawatankuasa pendidikan Pakatan Harapan (PH) bahawa kerajaan gagal menguruskan SPM tahun lalu, Radzi berkata pelaksanaan SPM tahun lepas merupakan satu perkara yang mencabar dan memerlukan penelitian yang mendalam, termasuk aspek penjarakan fizikal, jumlah petugas dan waktu makan tengah hari.

“Kemudian kita teliti macam mana hendak laksanakan pemarkahan. Kalau dulu cikgu-cikgu berhimpun di tempat-tempat tertentu.

“Kita buat keputusan bahawa untuk SPM 2020, buat pertama kali, pemeriksaan kertas SPM dibuat secara atas talian. Lebih 5 juta kertas peperiksaan perlu diimbas.”

Beliau berkata, berdasarkan tempoh waktu keluar keputusan SPM tahun lalu, ia mampu dikeluarkan dalam tempoh yang lebih cepat berbanding tahun-tahun sebelum pandemik.

“Untuk tahun ini, sijil SPM akan dicetak sebulan selepas keputusan (SPM) keluar.

“Itu menunjukkan dalam tempoh singkat ini, banyak kejayaan kita laksanakan dalam memastikan penambahbaikan SPM 2020,” katanya.