- Iklan -
Berita

Penularan Covid-19 di kawasan PKPD Sabah mungkin berlaku semasa Aidilfitri

PKPD diisytiharkan di Taman Utama berikutan peningkatan mendadak kes wabak itu dalam tempoh singkat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang anggota tentera berdiri di hadapan pintu masuk dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) .
Seorang anggota tentera berdiri di hadapan pintu masuk dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) .

Penularan Covid-19 di Taman Utama, Sabah yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), kemungkinan berlaku semasa perayaan Aidilfitri sejak 13 Mei, kata Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Sandakan Wong Foo Tin.

“Ya, ia (penularan) semasa raya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini mengenai punca yang menyebabkan pelaksanaan PKPD di kawasan itu selama 14 hari bermula hari ini.

Pada Rabu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD diisytiharkan di Lorong Taman Utama 5 ke 8, Taman Utama berikutan peningkatan mendadak kes wabak itu dalam tempoh singkat, dengan sembilan daripada 13 saringan disahkan positif, menjadikan kadar positif sebanyak 69.2%.

Wong yang juga presiden Majlis Perbandaran Sandakan tidak menafikan bahawa tuan rumah tidak menyediakan kod MySejahtera untuk tetamu mengimbas kehadiran mereka, menyebabkan pihak berkuasa menutup kawasan terbabit yang mempunyai 40 rumah dengan anggaran empat orang serumah, untuk menjalankan ujian saringan.

Beliau berkata tiada rekod mengenai keberadaan penduduk dalam tempoh 14 hari lepas juga menyebabkan PKPD di kawasan itu dilaksanakan hingga 17 Jun.

Tinjauan oleh Bernama hari ini mendapati kawasan itu dipagar dan dikawal oleh anggota polis dan tentera serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), manakala pergerakan orang keluar masuk ke kawasan itu sangat terhad.