Saturday, June 19, 2021

Kerajaan ada kuasa untuk paksa bank laksana moratorium, peguam persoal dakwaan Zafrul

Kerajaan boleh meminta sama ada secara 'baik' kepada bank, atau gunakan kuasa perintah darurat untuk paksa mereka, kata Derek Fernandez.

Other News

Kerajaan memiliki kuasa mengarahkan bank bagi melaksanakan moratorium dan pengecualian faedah pinjaman, kata seorang peguam sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bahawa pihaknya tidak boleh memaksa bank untuk melaksanakan perkara tersebut.

Derek Fernandez berkata, kerajaan boleh mengambil langkah sama ada secara “baik” meminta bank secara sukarela membenarkan sekali gus melaksanakan moratorium, atau menggunakan penguatkuasaan undang-undang, termasuk menggunakan kuasa yang dibolehkan ketika perintah darurat masih berkuatkuasa ketika ini.

“(Kerajaan) ada kuasa yang besar untuk buatkan bank-bank secara sukarela bersetuju bagi melaksanakan pengecualian faedah dan jika tidak, mereka boleh gunakan undang-undang itu untuk memaksa mereka melaksanakannya jika kerajaan benar-benar memiliki keazaman politik untuk menjadikan beban kewangan akibat Covid-19 dapat dipikul oleh semua, terutama terhadap mereka yang sebenarnya masih boleh membuat keuntungan besar walaupun dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.

Pada Isnin lalu, Putrajaya berkata bank bersetuju untuk memberikan moratorium pinjaman selama tiga bulan atas permintaan peminjam daripada kumpulan B40 dan golongan yang kehilangan pendapatan akibat wabak tersebut.

Langkah tersebut tidak sejajar dengan moratorium yang diumumkan semasa perintah kawalan pergerakan pertama (PKP) tahun lalu yang membekukan pembayaran balik pinjaman selama enam bulan secara automatik selain pengecualian faedah turut diumumkan.

Pada Isnin lalu, Zafrul berkata kerajaan tidak memiliki kuasa untuk memaksa bank melakukan perkara yang sama kali ini.

Bagaimanapun, Fernandez berkata walaupun tanpa menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) 2021 yang memberi peruntukan kuasa untuk mengawal impak virus Covid-19, kerajaan berhak untuk melakukan perkara tersebut.

Beliau mengingatkan Seksyen 10 dan 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) memberi kuasa kepada menteri kewangan dan Bank Negara Malaysia untuk memperbaharui lesen perbankan, dan syarat boleh dikenakan ketika mereka mahu merperbaharui lesen bagi tujuan melindungi kepentingan negara.

“Kedua-dua seksyen membenarkan Bank Negara atau menteri untuk mempertimbangkan perkara yang mereka rasa relevan.

“Langkah-langkah darurat yang diambil ketika negara menanggung beban besar yang menjejaskan orang ramai dan perniagaan secara logiknya akan menjadikan ia sebagai satu hal yang relevan,” kata Fernandez.

Sementara itu, Seksyen 13 dalam akta yang sama turut membenarkan menteri atau Bank Negara mengenakan syarat baru ke atas institusi kewangan dalam negara.

Beliau berkata kuasa-kuasa boleh digunakan terhadap bank-bank yang menolak untuk melaksanakan arahan kerajaan ketika negara berdepan krisis nasional walaupun telah membuat keuntungan.

Secara baik atau secara paksa

Beliau berkata menteri kewangan juga boleh “memerintahkan secara baik” supaya bank mengecualikan faedah atau melaksanakan moratorium semasa PKP.

“Mungkin sebilangan bank akan faham situasi ketika ini, dan keadilan sosial menuntut mereka untuk sama-sama menanggung beban ekonomi rakyat sewaktu negara sedang menanggung derita,” kata Fernandez.

Jika gagal dengan cara tersebut, kerajaan boleh gunakan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus dan memperluaskan penggunaannya sehingga meliputi institusi kewangan, atau menggunakan kuasa daruratnya, “namun langkah itu mungkin tidak perlu”, tambahnya.

“Semua kerajaan mempunyai kuasa untuk mengawal institusi kewangan sepenuhnya kerana perbankan dan kewangan adalah komponen kritikal dalam keselamatan negara dan ekonomi.

“Lesen perbankan bukanlah hak undang-undang tetapi hak istimewa yang disertakan dengan syarat yang boleh dikenakan oleh kerajaan demi kepentingan negara,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles