Sunday, October 24, 2021

Speaker Dewan Rakyat sekolahkan golongan mahukan Parlimen bersidang semula

Azhar Harun menjelaskan mengapa penggantungan Parlimen dibenarkan Perlembagaan Persekutuan yang sering dipetik pengkritik.

Other News

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menghangatkan lagi perdebatan mengenai penggantungan Parlimen sepanjang darurat yang dilaksanakan ketika ini, mengatakan terdapat kurang kefahaman dalam kalangan pengkritiknya mengenai konsep pembahagian kuasa seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata ramai pengkritik darurat bersikap pilih bulu dalam mempertahankan Perlembagaan demi mendapatkan keuntungan politik.

“Kita tidak boleh bersikap memilih dengan hanya menerima apa sahaja yang menguntungkan kita namun bersikap keras apabila sesuatu tindakan tersebut tidak memenuhi kepentingan dan hasrat kita,” kata Azhar yang juga merupakan seorang peguam dalam artikelnya di MalaysiaNow.

Beliau tampil bersuara selepas dilihat lama berdiam diri terhadap gesaan bertalu-talu ahli Parlimen pembangkang termasuk timbalannya sendiri, Azalina Othman, yang baru-baru ini turut mendesak supaya Parlimen bersidang semula.

Katanya, walaupun doktrin pemisahan kuasa antara ketiga institusi – kerajaan, Parlimen dan badan kehakiman – tidak pernah dilaksanakan secara bulat-bulat di mana-mana negara, konsep pembahagian kuasa di antara ketiga-tiga institusi itu adalah prinsip undang-undang yang mesti dilaksanakan.

“Kerana itulah Mahkamah tidak melayan pertanyaan mengenai keabsahan persidangan Dewan Rakyat. Dengan kata lain, dalam situasi ini, Mahkamah tidak memiliki sumber undang-undang untuk melakukannya. Sekiranya Mahkamah mempunyai pendirian bertentangan dengan penetapan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas itu, seraya memutuskan perihal keabsahan sebarang persidangan Dewan Rakyat, ia dianggap melanggar undang-undang. Hal ini kerana, Mahkamah tidak mempunyai sumber undang-undang untuk melakukannya.”

Ahli politik pembangkang dari Pakatan Harapan memulakan proses undang-undang terhadap kerajaan, meminta Mahkamah mengisytiharkan proklamasi darurat oleh Agong pada Januari tahun ini sebagai tidak berperlembagaan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang memfailkan semakan kehakiman mencabar tindakan itu selain menyifatkannya sebagai “penyalahgunaan kuasa yang sangat dahsyat”.

Pada April, beberapa ahli Parlimen pembangkang bekerjasama dengan enam badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan deklarasi mahkamah mengenai peranan Parlimen dan badan kehakiman, termasuk untuk menyatakan sama ada pembatalan persidangan Parlimen boleh dicabar di mahkamah.

“Campur tangan” adalah perkara biasa, ikut Perlembagaan

Dalam respons beliau mengenai dakwaan kononnya kerajaan tersilap dalam isu penangguhan Parlimen, Azhar berkata adalah biasa bagi ketiga-tiga institusi pentadbiran untuk campur tangan antara satu sama lain.

Beliau memberikan contoh Parlimen yang mengesahkan undang-undang yang menyatakan sesiapa yang memiliki sejumlah dadah terlarang akan dianggap sebagai pengedar.

“Peruntukan ini melenyapkan kuasa Mahkamah untuk menentukan sama ada dia sebenarnya atau dalam undang-undang memang pengedar atau bukan,” katanya, sambil menambah “campur tangan” Parlimen itu sah seperti yang diperuntukkan Perlembagaan.

Selain itu, Azhar turut membidas pandangan kerajaan tidak berhak menghentikan persidangan Parlimen.

Hal tersebut, katanya, mesti dibahaskan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

“Darurat dan ordinan yang diumumkan setakat ini adalah tindakan yang diambil berdasarkan sumber undang-undang spesifik, iaitu di bawah dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” tulisnya.

“Ia disahkan oleh prinsip undang-undang dan boleh dikuatkuasakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama seperti kuasa Mahkamah yang boleh membatalkan beberapa tindakan oleh Eksekutif.

“Sama ada kita suka atau tidak, itu adalah kuasa Kabinet atau eksekutif dan kuasa itu digunakan.”

Azhar berkata dia hanya “hanya menjelaskan undang-undang sebagaimana adanya,” dan menambah bahawa dia tidak memiliki cita-cita politik atau “tak pernah memegang sebarang jawatan dalam apa-apa parti politik”.

“Kerana itu, secara semulajadi tidak pernah ada keinginan atau pendirian politik untuk saya masuk ke dalam kancahnya demi mendapatkan populariti,” tulis Azhar.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles