- Iklan -
Berita

Wanita lengkap 2 dos vaksin cetus kluster baru di Sabah

Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada satu kontak sosial yang berhari raya ke rumahnya, pada 13 Mei.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan sebanyak 217 kes baru positif Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif wabak berkenaan di negeri ini 61,274 kes, dengan terdapat satu kematian direkodkan di Kunak.

Seorang wanita berumur 53 tahun yang telah lengkap menerima dua dos vaksin pada Mac lepas, dikesan menjadi kes indeks dalam kluster baru di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, kluster Desa Ranggu di Tawau itu tercetus ketika perayaan Aidilfitri, dan berdasarkan saringan kontak rapat serta kontak sosial mendapati, 17 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 18 kes.

“Wanita berkenaan mempunyai gejala sejak 15 Mei, kemudiannya disahkan positif di Klinik Kesihatan Tawau pada 20 Mei, hasil saringan bergejala. Berdasarkan siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan daripada satu kontak sosial yang berhari raya ke rumahnya, pada 13 Mei.

“Kontak sosial terbabit mempunyai rekod pergerakan ke tiga rumah di Taman Desa Ranggu serta rumah mertua di Kampung Jawa Tawau, sebelum dikesan positif pada 22 Mei. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan sebanyak 217 kes baru positif Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif wabak berkenaan di negeri ini 61,274 kes, dengan terdapat satu kematian direkodkan di Kunak.

Masidi berkata terdapat peningkatan kes untuk 11 daerah di Sabah, namun catatan peningkatan kes bagi setiap daerah itu masih dalam satu angka, selain turut berlaku penurunan kes di sembilan daerah dalam julat satu angka, kecuali Tawau yang mencatatkan penurunan dalam julat dua angka.

Beliau berkata setakat hari ini, tujuh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Ranau, Tambunan, Nabawan, Kota Marudu, Beluran, Telupid dan Tongod.

“Keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan Covid-19 ini sangat bergantung kepada sejauh mana kesungguhan komuniti dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kendiri dan SOP yang ditetapkan kerajaan negeri,” katanya.