- Iklan -
Berita

Jika Khairy benar, saya sedia minta maaf, kata Lim Guan Eng

Menurutnya isu utama yang perlu diberi perhatian adalah kelulusan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri mendapatkan bekalan vaksin sendiri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menyatakan kesediaan untuk meminta maaf sekiranya dakwaan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang mengatakan kerajaan Pulau Pinang tertipu dengan syarikat tidak wujud menawarkan vaksinasi kepada negeri itu adalah benar.

Beliau bagaimanapun berkata kewujudan syarikat yang dikatakan menawarkan dua juta vaksin secara percuma kepada kerajaan Pulau pinang tidak tersebut bukanlah kerajaan pusat perlu segera membenarkan negeri itu mendapatkan bekalan vaksin sendiri.

“Sekiranya apa yang dikatakan oleh Khairy benar, maka saya bersedia meminta maaf.

“Sama ada syarikat itu wujud atau tidak adalah perkara kedua,” katanya dalam sebuah kenyataan sambil menggesa kerajaan pusat meluluskan segera permohonan semua kerajaan negeri untuk membeli vaksin atau sumbangan vaksin daripada pihak tertentu.

Menurut Lim tidak salah untuk kerajaan negeri mendapatkan vaksin secepat mungkin demi melindungi rakyat dengan segala cara sah yang ada.

Semalam, Khairy berkata tawaran dua juta dos vaksin Covid-19 secara percuma untuk Pulau Pinang adalah merupakan satu scam dan turut berkata siasatan mendapati syarikat yang memberikan tawaran itu sebenarnya tidak wujud.

“Saya ulangi sekali lagi hari ini. Sumbangan atau tawaran ini palsu. Lihat surat tawaran ini, letterhead syarikat pun tiada.

“Saya bertanggungjawab terhadap pembelian vaksin di Malaysia, jadi saya tahu dari mana bekalan didapatkan,” katanya pada sidang media secara dalam talian semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak dikatakan menawarkan kepada kerajaan pusat dan negeri untuk membantu membekalkan vaksin bagi melancarkan program imunisasi yang dijalankan ketika ini.

Ia termasuk tawaran daripada Yayasan Sekhar, sebuah organisasi berkait dengan ahli perniagaan Vinod Sekhar yang menuduh kerajaan menolak permohonan mereka untuk memberikan 200,000 suntikan secara percuma.

Namun Khairy berkata tiada rekod pembelian vaksin daripada syarikat itu selepas semakan pihaknya daripada pembekal.

Khairy turut berkata usaha vaksinasi tidak seharusnya dipolitikkan.

“Jika ia sesuatu yang benar, saya akan menjadi yang pertama memohon maaf,” katanya merujuk kepada tuduhan Lim bahawa kerajaan menyekat tawaran vaksin percuma daripada sektor swasta.

“Tetapi apabila terbukti ianya palsu dan satu scam, kami diserang selama 24 jam disebabkan tuduhan tidak berasas ini, saya merasa sangat-sangat kecewa,” katanya.