- Iklan -
Berita

Lagi gesaan PKP diperketat ketika angka jangkitan terus meningkat

Apa-apa keputusan PKP yang lebih ketat perlu mempertimbangkan kesannya kepada ekonomi dan kehidupan orang ramai.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Peniaga restoran makanan menunggu kehadiran pelanggan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.Perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021 selepas kes Covid-19 makin meningkat.
Peniaga restoran makanan menunggu kehadiran pelanggan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.Perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021 selepas kes Covid-19 makin meningkat.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) hari ini turut menggesa kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih ketat demi melandaikan keluk jangkitan Covid-19 terutamanya di Selangor yang merekodkan kes harian lebih 1,000.

Bagaimanapun gesaan itu tidak mencadangkan sekatan kawalan pergerakan skala penuh kerana ia boleh menjejaskan usaha pemulihan ekonomi negara.

“Impak PKP menyeluruh akan menjejaskan perniagaan dan ekonomi negara, namun kita memahami wujudnya keperluan yang mendesak untuk membendung peningkatan kes harian Covid-19.

“Apa-apa keputusan untuk melaksanakan usaha ke arah itu mesti mempertimbangkan kepentingan perniagaan dan kehidupan orang ramai,” kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman dalam sebuah kenyataan hari ini.

Malaysia hari ini merekodkan 4,865 kes baru menyaksikan Selangor mencatat kes harian sebanyak 1,743.

Semalam, 4,446 kes baru dilaporkan dengan Selangor menyumbang sebanyak 1,650 jangkitan.

Terdahulu, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FBMA) yang mewakili 260 persatuan perniagaan dan 950,000 perniagaan turut menggesa PKP yang lebih ketat di seluruh negara dengan syarat pakej rangsangan pemulihan ekonomi turut diumumkan kerajaan.

Ia berkata syarikat perniagaan sanggup “berdepan segala cabaran” demi membendung Covid-19 selepas angka jangkitan dan kematian terus meningkat kebelakangan ini.

Malaysia mencatatkan kes tertinggi hariannya sebanyak 5,728 pada 30 Januari lalu ketika PKP 2.0 dilaksanakan.

Sementara kematian tertinggi direkodkan semalam sebanyak 45 korban, 20 daripadanya adalah dari Selangor.

Kerajaan kemudian mengumumkan PKP 3.0 awal bulan ini meliputi seluruh negara kecuali Sarawak yang kekal berstatus PKP bersyarat (PKPB).