- Iklan -
Berita

Polis terima laporan dakwaan Azmin langgar SOP ziarah Aidilfitri

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei lebih kurang 8 pagi di kediaman rasmi Azmin di Presint 10 di Putrajaya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali mengesahkan satu laporan polis diterima semalam berhubung dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri.

Beliau berkata laporan itu diterima pada 3 petang berhubung hantaran di Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial mendapat perhatian netizen yang mendakwa ahli keluarga Azmin merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

Fadzil berkata Azmin serta ahli keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali serta saksi-saksi yang lain akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Azmin yang mendiami kediaman tersebut.

“Keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi tersebut juga mengesahkan pada13 Mei tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti yang didakwa dalam hantaran Facebook yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei lebih kurang 8 pagi di kediaman rasmi Azmin di Presint 10 di Putrajaya.

Beliau turut menasihati pengguna media sosial yang lain supaya berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.