- Iklan -
Berita

Kematian Haziq tiada kaitan vaksinasi Covid-19, kata pakar forensik

Hasil bedah siasat kementerian kesihatan mendapati kematian Haziq adalah akibat komplikasi jantung.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli keluarga pemanah recurve negara Haziq Kamaruddin ketika pengebumian beliau di Melaka semalam. Gambar: Bernama
Ahli keluarga pemanah recurve negara Haziq Kamaruddin ketika pengebumian beliau di Melaka semalam. Gambar: Bernama

Pakar perunding kanan perubatan forensik kementerian kesihatan berkata tiada bukti menunjukkan kematian mengejut atlet memanah negara Haziq Kamaruddin mempunyai kaitan langsung dengan vaksinasi Covid-19 susulan bedah siasat terhadapnya.

Dr Zahari Noor dalam sebuah kenyataan berkata bedah siasat tersebut selesai dilakukan setelah calitan ujian Covid-19 diambil dari Haziq sebab kematian atlet itu adalah disebabkan komplikasi jantung.

“Calitan ujian Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut.

“Hasil bedah siasat menunjukkan kematian akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis),” katanya dalam sebuah kenyataan rasmi kementerian kesihatan.

Bedah siasat tersebut dijalankan selepas arahan dikeluarkan kementerian untuk menentukan sebab kematian Haziq yang meninggal dunia di usia 27 tahun dan laporan kematian mengejut (SDR) oleh pihak polis.

Haziq disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang pada pukul 9.37 pagi 13 Mei lalu.

Beliau yang merupakan pemanah recurve negara itu dikatakan rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh.

Jenazah Haziq selamat disemadikan di tanah perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Merlimau, Melaka.