- Iklan -
Berita

Kes denggi meningkat 7.7%, 2 kematian dilaporkan

Orang ramai diminta mengalih dan membuang bekas air bertakung bagi mengurangkan kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan sukarelawan menjalankan aktiviti ‘fogging’ untuk memerangi penularan denggi.
Gambar fail menunjukkan sukarelawan menjalankan aktiviti ‘fogging’ untuk memerangi penularan denggi.

Jumlah kes demam denggi meningkat 7.7% kepada 2,808 kes pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24) iaitu bagi tempoh 11 hingga 17 Jun berbanding 2,608 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada ME24.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME24 meningkat 149.6% kepada 54,139 kes berbanding 21,688 kes kes bagi tempoh sama pada 2022. 

“Sejumlah 39 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 15 kematian bagi tempoh sama pada 2022,” katanya.

Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot kes demam denggi pada ME24 meningkat kepada 110 lokaliti berbanding 95 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Lokaliti hotspot tersebut adalah 84 lokaliti di Selangor, 14 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing empat di Kedah dan Pulau Pinang, tiga di Sabah serta satu di Perlis.

Mengenai survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata dua kes chikungunya direkodkan pada ME24 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 137 kes.

Beliau berkata bagi survelan zika pula, sebanyak 1,381 sampel darah dan 69 sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

“Pemantauan di Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan mendapati jumlah kes demam denggi adalah tinggi dan berpotensi untuk terus meningkat jika tiada tindakan pencegahan dilakukan oleh semua pihak termasuk masyarakat.

“Sebagai langkah proaktif, periksa setiap bekas di dalam dan luar rumah serta pastikan tiada takungan air untuk nyamuk Aedes membiak,” katanya.