- Iklan -
Berita

Negeri Sembilan benar solat Aidilfitri ikut kapasiti masjid

Bagaimanapun, masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP Covid-19 akan ditutup selama seminggu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan untuk melaksanakan takbir raya namun ia terhad kepada jumlah jemaah mengikut kapasiti ruang solat, bagaimanapun takdir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.
Masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan untuk melaksanakan takbir raya namun ia terhad kepada jumlah jemaah mengikut kapasiti ruang solat, bagaimanapun takdir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.

Negeri Sembilan membenarkan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di semua masjid dan surau di negeri itu dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti ruang solat serta pematuhan penjarakan fizikal.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata bagaimanapun surau perlu membuat permohonan di pejabat agama daerah masing-masing bagi tujuan itu.

“Takbir raya juga dibenarkan, terhad kepada jumlah jemaah mengikut kapasiti ruang solat namun amalan takbir rumah ke rumah tidak dibenarkan sama sekali. Jamuan hari raya dan sebarang jamuan selepas Aidilfitri di semua masjid dan surau juga tidak dibenarkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peralatan dan Sumbangan Program Jalinan Mesra Majlis Bandaraya Seremban hari ini.

Aminuddin berkata aktiviti menziarahi kubur hanya dibenarkan di kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dengan kehadiran empat orang dalam satu kumpulan bagi satu kubur selama 30 minit.

“Daerah Seremban berstatus PKP bersyarat maka tidak dibenarkan aktiviti menziarah kubur. Jadi saya minta orang ramai mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP akan ditutup selama seminggu, serta menasihati mereka yang tidak sihat atau mempunyai gejala Covid-19 agar tidak ke masjid dan surau.