Monday, October 18, 2021

Kempen ponteng sekolah bertentangan dengan adab pendidikan, kata MBM

Lebih banyak cara lain yang lebih kreatif dan berkesan, untuk mendokong kempen pendidikan seksual dan sekolah sebagai tempat selamat serta aman.

Other News

Tindakan meminta pelajar untuk tidak hadir ke sekolah menerusi kempen ‘#MakeSchoolASaferPlace’, bertentangan dengan adab pendidikan yang diajar sebelum ini, yang memerlukan mereka menghormati institusi ilmu dan pendidikan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata, beliau yakin lebih banyak cara lain yang lebih kreatif dan berkesan, untuk mendokong kempen pendidikan seksual dan sekolah sebagai tempat selamat serta aman untuk pelajar, sesuai dengan adat ketimuran.

“Menghadiri kelas pengajian merupakan sebahagian daripada adab pelajar kepada ilmu, guru dan institusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya MBM juga bersetuju supaya pelajar diberikan hak untuk bersuara, bagi mempertahankan diri daripada sebarang gangguan termasuk gangguan seksual dan ancaman rogol, namun kempen itu sepatutnya digerakkan sendiri oleh pelajar dan guru berkaitan dengan hal ini.

Sehubungan itu MBM mencadangkan tindakan tegas perlu diambil kepada pihak mengambil kesempatan mempermainkan isu-isu berkaitan ancaman rogol dan gangguan seksual.

Sebuah gabungan badan bukan kerajaan sebelum ini, meminta pelajar dan guru membantah budaya rogol dan gangguan seksual dengan tidak hadir ke sekolah selama sehari, antara lain berikutan kes seorang guru mengeluarkan perkataan berunsur lucah, dengan menggalakkan perlakuan rogol ketika pembelajaran.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles