- Iklan -
Berita

Pendidik mahu SOP jadi peraturan disiplin sekolah selepas kluster meningkat

Tindakan disiplin harus diambil terhadap mana-mana pelajar yang mengabaikan SOP.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Guru-guru mempersiapkan kelas dengan kelengkapan SOP bagi menyambut pelajar. Gambar: Bernama
Guru-guru mempersiapkan kelas dengan kelengkapan SOP bagi menyambut pelajar. Gambar: Bernama

Ahli pendidikan menggesa prosedur operasi standard (SOP) dijadikan sebagai sebahagian disiplin sekolah susulan kluster sektor pendidikan dilihat meningkat dalam negara dan pusat pendidikan itu turut dinasihatkan untuk ditutup oleh kementerian.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohd Ali Hassan berkata para pelajar harus bersama-sama mematuhi SOP.

“Tindakan disiplin harus diambil terhadap mana-mana pelajar yang mengabaikan SOP,” katanya.

“Pelajar-pelajar juga harus kongsi semangat ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’.”

Beliau berkata sebahagian langkah yang boleh diambil ialah mengeluarkan memo peringatan kepada mereka yang melanggar SOP, memo itu juga kemudian akan dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga mereka.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata 20 kluster berkaitan sektor pendidikan direkodkan dari 20 Mac hinggal 4 April.

Dalam sidang medianya, Adham berkata kluster sektor pendidikan itu berpunca daripada jangkitan kenalan dan kontak sosial.

Daripada penilaian pejabat kesihatan daerah (PKD), pentadbiran sekolah akan dinasihatkan oleh jabatan kesihatan daerah untuk penutupan sesi persekolahan atau kelas yang ada kes positif sebagai langkah pencegahan.

Ali berkata peningkatan kes positif di pusat pendidikan menunjukkan pelajar dan guru-guru harus sentiasa bersedia untuk pengajaran bersemuka atau pengajaran di rumah berdasarkan arahan daripada pihak berkuasa.

Justeru, Ali mencadangkan SOP diketatkan di pintu masuk pusat pendidikan atau sekolah ketika ibu bapa menghantar anak mereka atau kakitangan yang lain.

Beliau turut menggesa para guru untuk diberikan keutamaan untuk menjadi penerima awal vaksin.

“Guru-guru yang menolak vaksinasi perlu berikan tunjuk sebab jika tak mahu patuh arahan vaksinasi. Tindakan sewajarnya boleh diambil PKD yang relevan,” katanya.

Presiden National Union of the Teaching Profession (NUTP) Aminuddin Awang berkata peningkatan jumlah kluster berkaitan sektor pendidikan tidak semestinya boleh dikesan di sekolah sahaja.

“Pentadbiran sekolah tak semestinya akan tahu di mana murid dan pelajar sebelum hadir ke sekolah, apa aktiviti mereka dan dengan siapa mereka berjumpa.”

Beliau berkata pihak sekolah sudah melakukan yang terbaik dengan mengambil langkah pencegahan dalam kawasan sekolah sedangkan masalah tersebut berpunca dari luar.

“Tak ada kawalan di luar sekolah,” katanya.

“Dalam kes ini, jangan salahkan sekolah jika ada peningkatan kluster berkaitan sekolah. Sekolah jadi mangsa terhadap apa yang berlaku di luar kawasannya.”