- Iklan -
Berita

Shamsul Anuar sedia lepaskan jawatan menteri sekiranya diarahkan Umno

Shamsul Anuar akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh Umno.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Shamsul Anuar Nasarah di ibu pejabat Umno.
Shamsul Anuar Nasarah di ibu pejabat Umno.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Shamsul Annuar Nasarah bersedia melepaskan jawatan dalam kerajaan hari ini selepas parti Melayu itu tekad memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.

Menteri tenaga dan sumber asli itu berkata, sebagai pemimpin dalam Umno, beliau akan melaksanakan segala keputusan yang diarahkan pimpinan utama parti itu.

“Untuk pastikan Umno tetap dengan pendirian, untuk kembali pulih dan berada di kedudukan asal dalam negara ini.

“Dah tentu sebagai pemimpin saya akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh parti,” katanya ketika ditemui media di Perhimpunan Agung Umno, di Kuala Lumpur hari ini.

Usul peletakan jawatan yang dipegang oleh Umno dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diluluskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti hari ini selepas dicadangkan oleh Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Razaleigh berkata peletakan jawatan menteri-menteri Umno dari Kabinet akan memberikan mesej kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang beliau tidak lagi memiliki majoriti untuk menjadi kerajaan.

Menurutnya, barisan menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC Umno lantikan PN harus meletakkan jawatan kerana parti itu sudah tidak ada kaitan lagi dengan PN.

MKT Umno akan mendapatkan sokongan perwakilan pada PAU kali berhubung keputusan pada Februari untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, kempen yang diterajui Presiden Ahmad Zahid Hamidi, bekas presiden Najib Razak dan sekumpulan pemimpin Umno.

Terdahulu, dilaporkan sebanyak 147 bahagian sebelum ini sudah mengemukakan cadangan tersebut dalam mesyuarat perwakilan.