- Iklan -
Berita

Khairy jawab Anwar berhubung perolehan vaksin Covid-19

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dipengerusikan Ahli Parlimen DAP Wong Kah Woh, berpuas hati dengan perincian perolehan vaksin Covid-19, kata Khairy Jamaluddin.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, meskipun perolehan vaksin adalah “non-disclosure agreement” tetapi perinciannya sudah dibentangkan kepada PAC.
Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, meskipun perolehan vaksin adalah “non-disclosure agreement” tetapi perinciannya sudah dibentangkan kepada PAC.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dipengerusikan Ahli Parlimen (DAP- Ipoh Timor) Wong Kah Woh, berpuas hati dengan perincian perolehan vaksin Covid-19, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menjawab persoalan yang dikemukakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan.

Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, meskipun perolehan vaksin adalah “non-disclosure agreement” tetapi perinciannya sudah dibentangkan kepada PAC.

“Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta saya pada 5 Januari 2021  membentangkan maklumat serta perincian lanjut berkenaan perkara ini kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia.

“Butiran serta kertas perjanjian juga ditunjukkan kepada PAC. PAC menerusi kenyataan pengerusinya yang juga ahli Parlimen (DAP- Ipoh Timor) menyatakan bahawa PAC berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehahan vaksin Covid-19. Terdapat juga wakil PKR dalam PAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjawab persoalan mengenai pendaftaran vaksinasi yang tidak lengkap oleh 1.4 juta orang pengguna, Khairy berkata, mesej pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada pengguna yang tidak melengkapkan penilaian vaksinasi.

“Perkara ini saya nyatakan dalam sidang media pada tengah hari semalam yang mana saya turut memaklumkan SMS akan dihantar kepada pengguna-pengguna ini untuk meminta agar melangkapkan penilaian vaksinasi bagi membolehkan maklumat temujanji diberikan kepada mereka.

“Berkenaan pendaftaran berkali-kali pula, seperti mana yang saya nyatakan, MySejahtera sememangnya mempunyai rekod ketika pendaftaran vaksinasi ketika kali pertama dibuat, justeru pengguna sebenarnya tidak perlu membuat pendaftaran berulang.

“Ini terbukti apabila user interface baru yang dikeluarkan pada Sabtu lalu menunjukkan tarikh pengguna membuat pendaftaran pada kali pertama,” katanya.

Beerhubung program-program kesedaran melawan kumpulan anti-vaksin serta memberi keyakinan kepada orang ramai, Khairy berkata, ia sudah dilakukan banyak kali oleh semua pihak yang bertanggungjawab.

“Bukan sahaja oleh saya malah juga banyak pihak lain seperti kementerian kesihatan, pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Siri-siri penerangan dilaksanakan di pelbagai platform sama ada di media massa, media cetak mahupun media sosial. Program bantuan outreach juga pada ketika ini sedang berjalan di seluruh negara bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai berkenaan kepentingan vaksin ini.”

Sebelum ini Anwar turut membuat andaian kerajaan tidak memberi perhatian terhadap vaksin daripada negara Rusia iaitu Sputnik V dan ia disangkal oleh Khairy.

“Ini adalah tidak benar memandangkan vaksin Sputnik V sememangnya terdapat di dalam portfolio pembelian vaksin Covid-19 negara dan ketika ini sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran.”

Khairy berkata, dalam rundingan pembelian vaksin Covid-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan.

“Maklumat berkenaan nilai tambah ini dimuatkan dalam buku panduan PICK yang boleh dimuat turun di laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.

“Maklumat lanjut berkenaan PICK akan saya bentangkan di dalam sesi taklimat kepada ahli Parlimen yang akan diadakan tidak lama lagi. Surat jemputan kepada ahli Parlimen juga telahpun dihantar dan saya berharap ketua pembangkang serta ahli Parlimen pembangkang yang lain dapat hadir ketika sesi taklimat itu nanti,” katanya.