Friday, April 23, 2021

Tegas laksana denda berat, adakah Muhyiddin bakal terjejas?

Susulan dikritik hebat pembangkang, penganalisis berkata Perikatan Nasional perlu menjelaskan dasar dan tindakannya dengan hujah dan fakta.

Other News

Penganalisis beranggapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak begitu terkesan dengan pengumuman denda yang dilihat terlalu berat untuk membendung pandemik Covid-19 sehingga dikritik hebat parti pembangkang.

Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik UKM, Kartini Aboo Talib menganggap tindakan itu wajar bagi memerangi pandemik Covid-19, sejajar dengan alasan yang diberikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perintah darurat pada awal tahun ini.

Denda berat itu turut dikritik hebat ahli politik termasuk Najib Razak dan Anwar Ibrahim yang sering membawa isu tersebut di media sosial bagi mengetengahkan beberapa insiden berhubung pelanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Namun Kartini berkata mereka yang patuh terhadap SOP tidak perlu takut terhadap denda tersebut kerana ia bertujuan memerangi Covid-19.

“Kepada mereka yang mengulangi kesalahan yang sama iaitu tidak mematuhi SOP dalam kata lain RM10,000 bagi repeat offender. Saya rasa tindakan tegas ini perlu untuk memastikan negara menang melawan Covid-19,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Denda RM10,000 akan menjadi beban kepada mereka yang tidak patuh kepada SOP yang ditetapkan. Jika kita patuh dan akur pada arahan SOP, mengapa kita harus takut? Mereka yang patuh boleh meneruskan hidup normal baru yang semakin menjadi kebiasaan.”

Kompaun sebanyak sepuluh kali ganda daripada denda asal berjumlah 1,000 iaitu sebanyak RM10,000 dikuat kuasa pada 11 Mac lalu di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (pindaan 2021).

Undang-undang baru itu juga turut memberi amaran dengan peruntukan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Pada masa 24 jam, 330 orang diberikan notis kompaun RM10,000 bagi pelbagai kesalahan ingkar SOP di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kesalahan yang dicatatkan termasuk gagal meletakkan nama dalam senarai pengunjung premis perniagaan dan tidak memakan pelitup muka di kawasan yang terdapat ramai orang.

Bulan lalu, ketika mengumumkan butiran perintah darurat, Muhyiddin menegaskan kerajaan akan memperkenalkan undang-undang yang lebih keras bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP dan demi mendapatkan kerjasama warga dalam memerangi Covid-19 yang setakat ini mengorbankan lebih 1,200 nyawa.

Undang-undang serupa turut dilaksanakan di Singapura selepas negara itu menyaksikan peningkatan kes pada tahun lepas sebelum berjaya mengawalnya.

Di bawah Undang-undang Covid-19 2020 (Tindakan Sementara) (Peraturan Kawalan) Singapura, denda sebanyak AS$10,000 (RM30,500) atau enam bulan penjara bagi pesalah kali pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, walaupun denda akan menjejaskan populariti, untuk menyifatkan kerajaan PN sebagai zalim dilihat tidak wajar kerana ia lebih kepada mengajar semua untuk mematuhi SOP dalam melandaikan jumlah kes positif Covid-19.

“Rakyat, industri, sektor awam, swasta dan pendidikan sudah bermula seperti biasa. Maka rakyat Malaysia harus akur dan kaedah mendidik rakyat salah satunya adalah mengenakan denda atau hukuman selain melalui pendidikan dan kempen,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara Ketua Jabatan Pengajian dan Ketamadunan UPM Mohd Mahadee Ismail berkata isu ini akan menjadi antara bahan kempen utama pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

“Rakyat akan lebih menyampah bila mana kompaun yang dikenakan tidak dikaji dengan teliti terlebih, tidak dibahaskan di Parlimen, luahan hati serta pandangan rakyat seolah-olah tidak dipedulikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dalam pada itu, Hisommudin berkata, PN perlu bijak menjelaskan dasar dan tindakan yang diambil kepada rakyat dengan hujah dan fakta yang tepat.

“Jika gagal diatasi dan kerajaan tidak berusaha membuat counter narrative, saya tidak menolak sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada segmen tertentu yang akan protes kepada kerajaan dalam bentuk undi.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles