Wednesday, April 21, 2021

Antara seni dan perjuangan yang cuba ‘dibisukan’

Aktivis Orang Asli Shaq Koyok bicara tentang perjuangan meningkatkan kesedaran hak komuniti dan kemusnahan alam yang mengganggu cara hidup mereka.

Other News

Ketika Shaq Koyok mengambil keputusan untuk mengejar karier dalam bidang seni halus, motivasinya adalah identitinya sendiri sebagai Orang Asli.

Ketika umur Shaq belum menginjak sembilan tahun, dia melihat sendiri hutan yang merupakan tempatnya membesar di Kampung Pulau Kempas, banting dimusnahkan atas nama pertanian.

“Saya sedih dan marah,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pada tahun 1994, saya masih ingat lihat lori bawa balak, bunyi gergaji dan jengkaut. Dah tak ada apa-apa yang tinggal kecuali jalan dan debu.

“Hutan yang biasa jadi tempat kami bermain, cari makan, hilang.”

Hal itu terjadi sedekad sebelum kawasan itu berjaya dipulihkan semula akibat projek tersebut. Namun pemulihan itu hanya bersifat sementara.

“Pada 2006, ia terjadi lagi. Kali ini dia orang kata projek pertanian, tapi bukan,” kata Shaq.

“Dia orang nak potong balak dan ambil kayu-kayu mahal.”

Pangalaman sedemikianlah yang membakar semangatnya untuk terus membuat kerja-kerja seni.

Karya terbarunya, “Muted Colours” ketika ini dipamerkan di Richard Koh Fine Art Gallery di Bangsar, Kuala Lumpur.
Sebuah potret kendiri di atas permukaan tikar mengkuang. Ada secalit warna jingga di atas dahi wajahnya.
Shaq berkata catan itu menceritakan bagaimana Orang Asli tidak memiliki kemampuan untuk bersuara sebagai seorang manusia.

“Warna jingga itu mewakili mimpi dahsyat yang pernah saya alami,” katanya.

“Saya mula dengan melukis mulut, kemudian saya padam kerana sedar yang Orang Asli masih terus didiamkan. Mereka tak ada suara.”

Subjek dalam karya Shaq menampilkan identiti dan budaya beliau sebagai Orang Asli.Sepotong kata “guilt” turut dibentuk dari linen lain dan ditampal di atas catan. Shaq berkata ia mewakili rasa bersalah kerana tidak berusaha lebih untuk memartabatkan Orang Asli.

“Saya rasa bersalah kerana tak berusaha lebih keras untuk Orang Asli, lagi-lagi bila saya sudah tinggal di bandar sekarang.

“Saya nak usaha lebih lagi. Itu yang beri saya motivasi – dengan rasa bersalah yang ada, saya nak buat lebih baik daripada semalam.”

“Muted Colours” adalah salah satu dari 19 kerja seni yang dimuatkan dalam pameran “Land of A Thousand Guilts”.

Ia adalah pameran solo keempat beliau setakat ini. Tujuan pameran ini jelas: untuk membantu orang ramai memahami situasi yang dihadapi komuniti Orang Asli sejak beberapa dekad lalu.

Shaq yang merupakan pemuda dari suku Temuan lebih senang mengerjakan potret. Beliau melukis teman-temannya dan bahkan orang yang dia tidak kenali ketika melawat kampung-kampung Orang Asli.

Walaupun subjek-subjek yang ada dalam kerja beliau datang daripada pelbagai kumpulan etnik, mereka semua berkongsi kepediahan dan perjuangan yang sama.

“Inilah isu yang saya nak bangkitkan (dalam pameran ini),” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ketika kami perjuangkan hutan-hutan kami, ia bukan hanya sekadar isu alam sekitar. Ia adalah tentang identiti, tentang budaya kami.

“Kami ada kuburan nenek moyang di dalam hutan. Jika anda musnahkan hutan, sebenarnya anda sedang musnahkan sejarah kami.”

Tikar mengkuang

Shaq menggunakan tikar mengkuang sebagai kanvasnya dengan sebab yang khusus berbanding orang lain yang biasa menggunakan fabrik linen sebagai kanvas.

Tikar mengkuang biasanya digunakan sebagai hamparan untuk duduk di kampung-kampung Orang Asli. Walaupun ia biasa dilihat, namun seni menganyam itu sudah semakin hilang dan dilupakan oleh generasi muda.

Shaq berkata dia tekad untuk mengubah hal ini.

Salah satu antara 19 karya Shaq Koyok. Catan yang dihasilkan di atas permukaan mengkuang.

Tikar mengkuang yang digunakan Shaq dianyam oleh ahli keluarganya. “Sacred Sea Dance” adalah potret terbesar dalam pameran ini, catan itu dihasilkan di atas permukaan anyaman mengkuang oleh ibu Shaq sendiri.

“Melukis catan atas tikar mengkuang tidak mudah,” katanya.

“Ia macam anda lukis atas daun, sukar untuk warna-warna itu melekat. Sukar nak kerjakannya.

Shaq masih ingat ketika lawatannya ke New Zealand. Di sana tikar mengkuang demikian dianggap kerja seni yang berharga.

“Dia orang tak pernah panggil ia sebagai kraf. Macam kita di sini. Ia adalah kerja seni yang berharga bagi mereka. Itu menjadikan saya terfikir, kenapa tidak kita hargai kerja anyaman ini.

“Sebetulnya ia adalah objek yang hari-hari kita tengok, kita pijak dan tidur di atasnya.

Maka, dengan menggunakan anyaman sebagai kanvas, Shaq mahu supaya orang ramai menghargai seni anyaman mengkuang.

“Sudah tentu, kanvas linen nampak cantik dan bersih, tapi kita ada benda yang berharga dalam negara kita. Ia adalah kesenian tradisional kita.”

Perubahan sosial

Begitu pun, akar kesenian Shaq masih kuat bersumber aktivisme.

“Matlamat seni saya adalah untuk perjuangkan hak komuniti saya,” katanya.

Dia mengenang diskriminasi yang terpaksa dihadapi ketika di sekolah menengah kerana dia berbeza. Ada juga daripada kawan-kawannya yang hadapi diskriminasi sedemikian berhenti belajar.

“Bila orang tak faham kita, dia orang tak tahu macam mana nak hormat kita,” katanya.

“Di Malaysia, tak ada silibus yang dalam buku teks tentang Orang Asli. Di situlah bermulanya masalah diskriminasi.”

Kerana itulah, Shaq tidak memiliki minat dengan “kerja-kerja abstrak yang nampak cantik dalam rumah.”

Pelukis catan Shaq Koyok cuba main peranan martabat suara Orang Asli.

Beliau berkata ramai pengumpul kerja seni cuba mengupahnya untuk membuat karya-karya yang tiada kena mengena dengan Orang Asli.

“Tapi saya tolak. Sebagai aktivis, begitulah peranan yang saya ambil.”

Artis ini turut mengakui had dan batas dalam kerja yang dihasilkan beliau, namun Shaq terus berharap agar sesiapa yang melihat kerja seninya akan dapat belajar lebih banyak tentang Orang Asli.

“Itulah hal yang paling penting buat saya.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles