- Iklan -
Berita

Deloitte setuju penyelesaian RM324 juta berkaitan 1MDB, SRC International

MoF berkata penyelesaian oleh Deloitte ini merupakan penyelesaian berkaitan 1MDB terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Deloitte PLT (Deloitte) telah bersetuju dengan suatu penyelesaian bernilai RM324 juta (US$80 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka di dalam pengauditan akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC). Gambar: AFP
Deloitte PLT (Deloitte) telah bersetuju dengan suatu penyelesaian bernilai RM324 juta (US$80 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka di dalam pengauditan akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC). Gambar: AFP

Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa Deloitte PLT (Deloitte) bersetuju dengan suatu penyelesaian bernilai RM324 juta (US$80 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka di dalam pengauditan akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi tempoh 2011-2014.

Dalam kenyataan pada Rabu, MoF berkata penyelesaian oleh Deloitte ini merupakan penyelesaian berkaitan 1MDB terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

“Kejayaan penyelesaian luar mahkamah dengan Deloitte akan mempercepatkan pembayaran wang penyelesaian tersebut untuk memenuhi kewajiban tertunggak 1MDB dan SRC, tanpa proses mahkamah yang mungkin berpanjangan dan mahal,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata ia merupakan satu lagi kejayaan dalam usaha pemulihan berterusan kerajaan Malaysia terhadap pihak yang terlibat dalam 1MDB, SRC dan entiti yang berkaitan dengannya.

“Kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, di dalam skim global 1MDB,” katanya.

Menurut MoF, pada bulan Julai 2020, kerajaan berjaya di dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai sebuah penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (USD3.9 bilion).

“Pada 26 Februari 2021 pula, kerajaan juga berjaya mencapai suatu penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion berkaitan dengan penglibatan sebuah kumpulan perbankan di dalam isu 1MDB.

“Kesemua penyelesaian ini tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya, dan yang masih giat dicari berhubung dengan skandal 1MDB,” katanya.

MoF merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini.