Wednesday, August 4, 2021

Tabung Haji umum dividen 3.1%, meningkat berbanding 2019

Agihan keuntungan bagi tahun 2020 melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019.

Other News

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan dividen sebanyak 3.1% selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 3.05% pada tahun 2019, kepada kira-kira sembilan (9) juta pendepositnya.

Agihan keuntungan bagi tahun 2020 melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata pihaknya bersyukur dengan prestasi kewangan TH pada tahun 2020 yang kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung tahun 2019 akibat pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi tahun 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan”.

Dalam kenyataan hari ini TH berkata, jumlah deposit mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari 2021 iaitu paras tertinggi dalam sejarah, sekaligus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap lembaga yang menguruskan ibadah haji itu.

TH berkata zakat sebanyak RM106.2 juta juga sudah dilunaskan bagi tahun 2020 berbanding RM86 juta pada tahun 2019.

“Oleh itu para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka.

“Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara.”

Menurut kenyataan itu, urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam, Selasa, 2 Mac sehingga pukul 12 tengah hari, Rabu, 3 Mac, bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

“Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas pukul 12 tengah hari pada hari Rabu, 3 Mac 2021 menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles