- Iklan -
Berita

Pengeluar kertas terbesar Asia tambah pelaburan RM5.4 bilion di Malaysia

Syarikat Nine Dragons Paper Syarikat tersenarai di papan utama Bursa Hong Kong.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Delegasi Nine Dragons Paper melawat pemimpin negara hari ini. Gambar: Facebook
Delegasi Nine Dragons Paper melawat pemimpin negara hari ini. Gambar: Facebook

Syarikat pengeluar kertas dan ‘paperboard’ terbesar di Asia, Nine Dragons Paper (Holdings) Limited komited untuk menambah pelaburan sebanyak RM5.4 bilion di Malaysia, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata penambahan pelaburan oleh kumpulan yang berpangkalan di China itu jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.

“Kerajaan Malaysia adalah amat “pro-business” dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu ke dalam negara, dan bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

“Semoga ekonomi negara terus pulih dan bertambah kukuh,” kata beliau menerusi laman sosial Facebook selepas menerima kunjungan delegasi syarikat itu yang diwakili oleh Pengerusinya, Cheung Yan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Zhang Cheng Fei, pagi tadi.

Hadir sama Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) Azman Mahmud.

Muhyiddin berkata sehingga Disember 2020, sejumlah 572 projek perkilangan dari China bernilai RM78.61 bilion telah diluluskan oleh Mida, termasuk Kumpulan Nine Dragons Paper.

Syarikat itu tersenarai di papan utama Bursa Hong Kong dan menduduki senarai China Fortune 500.

Pelaburan kumpulan itu di Malaysia, merangkumi dua fasiliti perkilangan iaitu ND Paper (Malaysia) Sdn Bhd di Bentong, Pahang, yang melibatkan pengambilalihan kilang kertas dan pulpa dengan pelaburan keseluruhan RM1.2 bilion dan ND Paper Malaysia (Selangor) Sdn Bhd di Banting, dengan pelaburan RM4.2 bilion.

Beliau berkata kedua-dua projek itu akan menjana 2,180 peluang pekerjaan dengan hampir 90 peratus adalah rakyat tempatan.

Projek di Banting dijadual beroperasi pada tahun 2022.