Monday, April 19, 2021

Kerajaan akan sediakan bantuan bersasar dalam tempoh terdekat, kata Muhyiddin

Kerajaan akan turut meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi semasa PKP.

Other News

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan hari ini kerajaan akan menyediakan bantuan secara bersasar dalam tempoh terdekat kepada kumpulan rentan, terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan.

Katanya, ia termasuk meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kerajaan akan memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam, terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan karenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara.

“Keempat, memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, kerajaan antara lain akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital.

Katanya, ini akan menyediakan generasi fasih digital yang menguasai pengetahuan dan kemahiran digital serta berupaya menghasilkan inovasi menggunakan teknologi digital.

Menurut Muhyiddin, ia sekali gus akan melonjakkan kualiti pendidikan negara kita agar menjadi antara yang terbaik di dunia.

“Kedua, meningkatkan kompetensi dan pembangunan profesional pihak berkepentingan berkaitan kepimpinan dan pengintegrasian teknologi digital dalam pendidikan.

“Ketiga, merapatkan jurang digital bagi melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan berfungsi dalam masyarakat berilmu berlandaskan nilai murni (knowledge virtue-based society),” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles