- Iklan -
Berita

Muhyiddin terima dos pertama vaksin Covid-19

Turut menerima suntikan pertama dalam program imunisasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11, hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11, hari ini. Gambar: Bernama

Muhyiddin Yassin hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Perdana menteri menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 di sini, yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Muhyiddin tiba di pusat kesihatan itu pada kira-kira 2.25 petang dan melalui lima stesen di PPV untuk menjalani proses vaksinasi tersebut.

Stesen pertama untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin Covid-19, stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi, stesen keempat bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 dan stesen kelima ialah stesen pemerhatian.

Turut menerima suntikan pertama dan merupakan antara yang terawal menerima vaksinasi dalam program imunisasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Empat petugas KKM itu ialah Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis.

Dr Tan, 30, merupakan Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya manakala Sheilla Mellissa, 31, jururawat di klinik kesihatan tersebut.

Khairul Asraf, 44, adalah Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya dan Clement, 36, pemandu di Pejabat Kesihatan Putrajaya.

Selepas dipantau sekiranya terdapat kesan sampingan suntikan yang diterimanya daripada Ketua Jururawat Kesihatan, Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11, Lina Ibrahim, di stesen pemerhatian, Muhyiddin kemudian mengambil janji temu bagi pengambilan dos kedua.

Vaksin Pfizer-BioNTech perlu disuntik dua kali, dengan suntikan kedua pada hari ke-21 selepas suntikan pertama.

Turut berada di PPV itu ialah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.