- Iklan -
Berita

Perlukah ujian saringan Covid-19 dilakukan terhadap haiwan peliharaan?

Sehingga kini belum ada lagi kes jangkitan Covid-19 melibatkan haiwan dilaporkan di negara ini.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mazrul Fahmi Mahadzir pakar veterinar daripada sebuah hospital swasta berkata, rakyat Malaysia tidak perlu panik biarpun laporan mengatakan beberapa haiwan turut dijangkiti virus Covid-19. Gambar: Pexels
Dr Mazrul Fahmi Mahadzir pakar veterinar daripada sebuah hospital swasta berkata, rakyat Malaysia tidak perlu panik biarpun laporan mengatakan beberapa haiwan turut dijangkiti virus Covid-19. Gambar: Pexels

Awal bulan ini dunia dikejutkan apabila Korea Selatan menggesa pemilik haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing yang menunjukkan gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas ujian Covid-19 sekiranya ia terdedah dengan pembawa virus itu dan menyebabkan persoalan timbul sama ada perkara sama perlu dilakukan di Malaysia.

Dr Mazrul Fahmi Mahadzir pakar veterinar daripada sebuah hospital swasta berkata, rakyat Malaysia tidak perlu panik biarpun laporan mengatakan beberapa haiwan turut dijangkiti virus Covid-19.

“Terdapat virus dengan nama yang sama sering menjangkiti kucing iaitu Feline Coronavirus (FCov). FCov itu juga boleh berubah kepada Feline Infectious Peritonitis (FIT) dengan cara mutasi virus,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mazrul mengatakan disebabkan nama kedua-dua virus yang seakan-akan sama, ia mencetuskan keadaan panik dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

“Mendengarkan nama coronavirus itu membuatkan sebahagian masyarakat panik sehinggakan pernah sebelum ini mereka membiarkan atau membunuh haiwan peliharaan mereka semata-mata kerana takut.

“Sedangkan virus dengan nama sama coronavirus turut terdapat dalam wabak SARS. Jadi jangan terlalu terburu-buru mengambil tindakan seperti membunuh atau mengabaikan kebajikan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing,” katanya.

Korea Selatan memperkenalkan program ujian saringan Covid-19 kepada haiwan peliharaan beberapa minggu selepas negara itu melaporkan kes pertama jangkitan Covid-19 membabitkan anak kucing pada penghujung Januari lalu.

Sementara minggu lalu dilaporkan kematian dua ekor anak harimau putih berumur 11 bulan dipercayai maut akibat dijangkit virus Covid-19 di sebuah zoo di Pakistan.

Mazrul bimbang terhadap kebajikan haiwan sekiranya berlaku panik dalam kalangan masyarakat.

“Tanpa rasa belas kasihan haiwan peliharaan ini akan dibiarkan, dibuang atau dibunuh begitu saja. Perkara sebegitu tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia merupakan antara lima negara tertinggi yang memiliki lebih daripada seekor kucing di rumah,” katanya.

Ujian saringan jika haiwan jadi kontak rapat

Nurhusien Yimer dari Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) bagaimanapun berkata, ujian saringan perlu dilakukan sekiranya haiwan peliharaan mempunyai hubungan rapat individu dijangkiti Covid-19.

“Berdasarkan kajian eksperimen menunjukkan haiwan seperti kucing, anjing, ferret cat, kelawar, hamster dan tupai boleh dijangkiti virus.

“Haiwan seperti yang dinyatakan juga mempunyai kebolehan untuk dijangkiti daripada haiwan lain dari spesis yang sama,” katanya kepada MalaysiaNow.

Nurhusien bagaimanapun berkata, tiada lagi kes jangkitan Covid-19 melibatkan haiwan dilaporkan setakat ini di negara ini.

Seorang pengamal perubatan berkata, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) tiada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan jangkitan Covid-19.

Katanya, buat masa ini kes jangkitan terhadap haiwan peliharaan agak terpencil selain tiada sebarang maklumat terperinci mengenai simptom haiwan dijangkiti Covid-19.

“Sekiranya haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing diklasifikasikan sebagai penyebar virus pastinya ramai pegawai veterinar dijangkiti.

“Justeru orang ramai tidak perlu melakukan saringan Covid-19 terhadap haiwan peliharaan hanya kerana negara Korea Selatan memberikan pemeriksaan percuma ke atas haiwan peliharaan di negara terbabit,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Pemilik kucing Nor Ashikin Hassan berpendapat tidak ada masalah untuk melakukan saringan terhadap haiwan peliharaan sekiranya berkemampuan.

Katanya, kos untuk melakukan ujian saringan ke atas manusia dianggarkan RM400 dan jumlah itu dikiranya terlalu tinggi sekiranya memiliki lebih daripada seekor kucing.

“Buat pemilik yang berkemampuan dan pemilik kucing berharga ribuan ringgit dilihat berbaloi untuk melakukannya memandangkan haiwan peliharaan juga sudah dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga”.