Saturday, December 4, 2021

3 syarikat gergasi global bakal bina pusat data berskala hiper di Malaysia

Microsoft, Google dan Amazon diberikan kelulusan bersyarat untuk membina dan mengurus pusat data dan perkhidmatan awam.

Other News

Kerajaan hari ini mengumumkan pelancaran rangka tindakan (blueprint) baru untuk ekonomi digital Malaysia yang menyaksikan tiga syarikat gergasi digital global bakal melabur antara RM12 hingga RM15 bilion dalam lima tahun akan datang untuk pusat data dan perkhidmatan awam di Malaysia.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatakan selain Telekom Malaysia, kerajaan memberikan kebenaraan bersyarat kepada Microsoft, Google dan Amazon untuk membangun dan mengurus pusat data dan perkhidmatan awan berskala hiper.

“Pusat data yang berskala hiper ini serta perkhidmatan awan hibrid atau hybrid cloud services, juga akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis,” katanya semasa berucap secara dalam talian ketika melancarkan inisiatif MyDigital, yang merangkumi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, satu hala tuju bagi fasa seterusnya dalam tranformasi digital negara ini.

Pelan itu turut akan meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, membantu urusan perbankan dan kewangan serta memberikan akses pendidikan secara maya dan membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil.

Muhyiddin hari ini turut mengumumkan beberapa inisiatif melibatkan jumlah berbilion ringgit termasuk RM21 bilion yang akan dilabur sepanjang lima tahun bagi memantapkan sambungan gentian optic seluruh negara di bawah projek Jalinan Digital Negara (Jendela), yang meliputi semua kawasan berpenduduk kepada sembilan juta premis menjelang penghujung tahun 2025.

Sejumlah RM1.65 billion akan dilaburkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa Ini akan membuka ruang untuk pemindahan data antarabangsa, yang lebih cepat dan stabil, sekali gus menurunkan kos internet kepada pengguna di negara ini.

RM15 bilion lagi akan dilaburkan dalam tempoh 10 tahun akan datang untuk pelaksanaan infrastruktur 5G ke seluruh negara.

Muhyiddin memberi jaminan semua syarikat telekomunikasi dilayan sama adil dalam pemberian lesen 5G, dengan mengatakan “semua akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka”.

“Maka, menjelang hujung tahun ini, teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat. Dengan ini, Malaysia akan menjadi salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa-sebenar atau real-time, untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.”

Beliau menggambarkan teknologi 5G sebagai “game changer”.

“Hal ini kerana 5G bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet yang lebih laju, tetapi lebih penting dari itu, ia memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna, termasuk aplikasi-aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit-pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar, dan aplikasi-aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles